Pembangkang soal komposisi j/kuasa khas darurat, kata laporan


PEMBANGKANG menuntut kerajaan menjelaskan mengenai pembentukan jawatankuasa bebas yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelaksanaan darurat.

Laporan Malaysiakini yang memetik kenyataan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Saifuddin Nasution menyebut, perkara itu perlu mengambil kira penguasaan dalam Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian sewaktu mengesahkan menerima surat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hasan untuk mengemukakan nama calon anggota jawatankuasa itu.

“Ya, saya terima panggilan daripada Takiyuddun mengenai perkara ini. Saya juga terima surat bagi pihak ketua pembangkang,” katanya dalam laporan itu.

Jelasnya komposisi dan terma rujukan jawatankuasa tersebut perlu dijelaskan lebih lanjut kerana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada waktu ini memimpin kerajaan minoriti.

“Ini kerana jumlah ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mungkin sama, atau jika ambil kira perkembangan terbaharu, pembangkang mungkin lebih ramai ahli Parlimen,” katanya.

Beliau merujuk kepada siri pengumuman ahli Parlimen Umno sejak minggu lalu yang tidak lagi menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Pengumuman terbaharu dibuat Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz sewaktu Muyyiddin sedang mengumumkan mengenai perisytiharan darurat.

Dengan perisytiharan itu, semua sidang Parlimen dan dan dewan undangan negeri digantung dan semua pilihan raya juga ditangguhkan.

Laporan Malaysiakini turut memetik kenyataan Naib Presiden PKR Chang Lih Kang yang berkata jawatankuasa khas itu tidak perlu kerana Kabinet dan kerajaan negeri masih berfungsi.

Ia berbeza dengan darurat pada masa lalu yang menyebabkan Majlis Gerakan Negara mengambil alih pentadbian.

“Mungkin keanggotaan itu hanya untuk tujuan kosmetik,” katanya.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke juga mempersoalkan keanggotaan tersebut dan menegaskan mereka tidak boleh menyatakan pendirian sehingga ia dijelaskan.

Warisan pula menggesa agar satu sidang khas Parlimen diadakan untuk membincangkan perisytiharan darurat itu.

Timbalan presidennya Darell Leiking berkata masalah mengenai pembentukan jawatankuasa itu tidak akan timbul kerana Parlimen merupakan badan bipartisan terbaik.

Pembentukan jawatankuasa bebas yang akan dianggotai pembangkang itu diumumkan Istana Negara sewaktu menyatakan perkenan Yang di-Pertuan Agong mengenai perisytiharan darurat.

Jawatankuasa itu antara lain akan menasihati baginda sama ada perintah darurat boleh ditamatkan lebih awal sekiranya jangkitan Covid-19 dalam persekutuan kembali pulih.

Perintah darurat diisytihar berkuatkuasa bermula 11 Januari sehingga 1 Ogos. – 14 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen