Pembangkang tidak perlu masuk jawatankuasa bebas, gesa Mahfuz


Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berkata ahli Parlimen pembangkang tidak perlu sertai jawatankuasa yang dibentuk daripada perisytiharan darurat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2021.

AHLI Parlimen pembangkang tidak perlu menyertai sebarang jawatankuasa yang dibentuk daripada perisytiharan darurat, kata Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar daripada Amanah.

Menyertai jawatankuasa itu bermakna ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang memperakui keabsahan kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN), katanya.

“Ini kerana tiada keperluan darurat yang dicadangkan oleh perdana menteri dan jemaah menteri yang sudah hilang bilangan majoriti ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“PM dan PN adalah kerajaan yang merampas mandat rakyat dan kini (ketika) keputusan untuk darurat dibuat oleh jemaah menteri, kerajaan PN sudah hilang majoriti hanya 110 dan sehari kemudian bilangan menurun kepada 109,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahfuz berkata kehilangan majoriti itu menyebabkan Muhyiddin dan jemaah menterinya tidak lagi wujud daripada segi moral dan tidak layak untuk membuat keputusan dan mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Muhyiddin dalam ucapannya menjelaskan perisytiharan darurat berkata susulan perintah darurat, sebuah jawatankuasa bebas akan dibentuk dengan mandat untuk mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Awal hari ini, media melaporkan Menteri Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan menghantar surat kepada ketua pembangkang Anwar Ibrahim meminta nama tiga calon daripada pihak pembangkang untuk menganggotai jawatankuasa bebas itu.

Pembentukan jawatankuasa bebas yang akan dianggotai pembangkang itu diumumkan Istana Negara sewaktu menyatakan perkenan Yang di-Pertuan Agong mengenai perisytiharan darurat.

Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution mengesahkan pihaknya menerima permohonan daripada Takiyuddin tetapi beliau menuntut kerajaan menjelaskan komposisi ahli jawatankuasa itu.

“Ini kerana jumlah ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mungkin sama, atau jika ambil kira perkembangan terbaharu, pembangkang mungkin lebih ramai ahli Parlimen,” katanya.

Beliau merujuk kepada siri pengumuman ahli Parlimen Umno sejak minggu lalu yang tidak lagi menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Blok kerajaan yang sebelum ini mempunyai 112 kerusi kini berkurangan apabila Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Nazri Aziz (Padang Rengas) mengumumkan menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Pembangkang pula mempunyai 108 kerusi di Dewan Rakyat.

Dua kerusi kosong selepas penyandangnya, masing-masing seorang dari blok kerajaan dan pembangkang, meninggal dunia. – 14 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen