28 juta dos vaksin Covid disuntik di 46 negara, kata WHO


Pengarah Kecemasan WHO Michael Ryan berkata kira-kira 46 negara sudah memulakan program suntikan vaksin Covid-19. – Gambar AFP, 14 Januari, 2021.

SEBANYAK 28 juta dos vaksin telah diberi dalam usaha melawan pandemik Covid-19 setakat ini, sebahagian besarnya di negara-negara kaya, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) semalam.

Pengarah Kecemasan WHO Michael Ryan berkata kira-kira 46 negara sudah memulakan program suntikan vaksin. Daripada jumlah itu, 38 adalah negara kaya, katanya.

“Sebanyak 28 juta dos vaksin telah diberi setakat ini. Lima jenis vaksin atau platform telah digunakan.

“Empat puluh enam negara sedang menjalankan program vaksin, tetapi daripada jumlah itu hanya sebuah negara berpendapatan rendah.

“Ada populasi yang memerlukan tetapi tiada keupyaan mendapatkan vaksin melainkan kita berkongsi,” kata Ryan pada sebuah majlis semalam.

Sehingga kini pandemik Covid-19 menjangkiti lebih 9.15 juta manusia dengan lebih 1.96 juta kematian sejak virus itu mula dikesan di China pada Disember 2019.

Ryan juga berkata dunia kini berdepan situasi lebih sukar dalam usaha melawan Covid-19 susulan kemunculan varian baharu yang lebih mudah menular.

Sementara itu, Ketua Pasukan Teknikal Covid-19 WHO Maria Van Kerkhove lonjakan kes di kebanyakan negara Eropah ketika ini adalah disebabkan aktiviti sosial semasa musim cuti Krismas dan Tahun Baru lalu.

“Kita sekarang ini sedang mengalami kesan daripada aktiviti beberapa minggu sebelum ini.

“Situasi di beberapa negara dijangka akan bertambah buruk,” katanya. – AFP, 14 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen