SKMM digesa jelaskan kesahihan akaun Twitter, kata Syahredzan


SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu berterus-terang mengenai akaun Twitter @SKMM_MCMC, kata peguam Syahredzan Johan.

Menurutnya, SKMM mesti menjelaskan kesahihan akaun dan bagaimana ia diperoleh oleh suruhanjaya itu.

“Adakah benar akaun @SKMM_MCMC itu diambil alih daripada akaun peribadi seperti yang didakwa?

“Sekiranya benar diambil alih, apa keperluan @SKMM_MCMC mengambil alih suatu akaun peribadi?,” kata setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini. 

Syahredzan memberi maklum balas kepada netizen yang mendedahkan beberapa ciapan lucah, sumbang, mengancam dan jelik sifatnya yang dibuat oleh akaun rasmi Twitter SKMM sekitar 2013 hingga 2014.

Beliau berkata pengguna akaun sebelum ini @NazruiHakim (Nazrul Hakim) mendakwa bahawa akaun SKMM itu asalnya akaun peribadinya yang kemudian telah dijual beberapa tahun yang lepas kepada seseorang semasa akaun tersebut mempunyai 50,000 pengikut .

“Sekiranya ia diambil alih, adakah benar terdapat bayaran yang terlibat?

“Adakah bayaran yang dikatakan oleh @NazruiHakim dibuat oleh SKMM, dan berapa jumlah yang dibayar?

“Jika SKMM ada membuat bayaran, adakah ia melalui proses perolehan Kerajaan yang betul dan telus?,” soalnya.

Syahredzan berkata ciapan yang dibuat di akaun itu sebelum ini bercanggah dengan saranan SKMM sendiri melalui kenyataan media bertarikh 12 Januari 2021 supaya orang ramai ‘jaga kesopanan dan kesusilaan’ apabila berinteraksi di media sosial.

Selepas pendedahan berkenaan SKMM telah menggantung sementara akaun @SKMM_MCMC. Mereka juga mendakwa akaun itu telah ‘diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab’.

Bagaimanapun Syahredzan berkata dakwaan itu tidak munasabah kerana ciapan berkenaan dibuat beberapa tahun lalu dan walaupun akaun telah diceroboh, adalah mustahil untuk ‘back-date’ mana-mana ciapan.

Menurutnya isu berkenaan melibatkan badan berkanun yang mempunyai kuasa yang meluas dan mengawal selia industri komunikasi dan juga interaksi sosial orang awam di atas talian.

“Oleh itu, persoalan-persoalan ini harus dijawab oleh SKMM dan juga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM),” katanya. – 13 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen