5 saja ahli Parlimen Umno tarik diri, PN tumbang, kata Nazri


Mohd Farhan Darwis

Menurut Nazri, langkah menarik balik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional akan membolehkan pilihan raya umum diadakan secepat mungkin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 9 Januari, 2021.

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) akan tumbang jika sekurang-kurangnya lima ahli Parlimen Umno menarik diri daripada menyokong kerajaan Muhyiddin Yassin, kata Nazri Aziz.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata kelab penyokong ahli Parlimen Umno juga sudah pasti akan menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

“Untuk itu kita akan tarik sokongan daripada kerajaan sekarang sebab kerajaan tak stabil. Kita kena keluar secepat mungkin. 

“Majoriti mereka dua sahaja, kalau lima, enam, tujuh ahli Parlimen kita (tarik diri PN) jatuh. Tunggulah tengok.

“Boleh (tarik sokongan) tapi biar satu-satu (ahli Parlimen tarik sokongan) kita tengoklah nanti.

“Kalau menteri Umno nak duduk Kabinet (silakan, mereka) tak payah lepas jawatan, duduk diam. Kita akan buat, kelab penyokong akan buat… tunggu sahaja,” katanya, yang juga bekas menteri kabinet.

Nazri berkata demikian kepada pemberita di ibu negara, hari ini.

Umno mempunyai sembilan menteri dan lima timbalan menteri dalam Jemaah Menteri pentadbiran Muhyiddin.

Menurut Nazri, langkah menarik balik sokongan akan membolehkan pilihan raya umum diadakan secepat mungkin.

“Tujuan kita ialah untuk pertama sekali cetuskan keadaan di mana terpaksa diadakan pilihan raya umum, bukan secepat mungkin, tetapi pada waktu dan masa yang sesuai. 

“Saya setuju apa Najib (Razak) cakap, lagi lama kita kekal (dalam kerajaan PN) lagi susah,” kata Nazri.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan langkah selanjutnya bagaimana perkara itu akan dilaksanakan.

“Benda macam ini tak boleh kata esok atau lusa (akan tarik sokongan), ia mungkin akan berlaku sekali atau satu-persatu, tengoklah,” tambahnya.

Jelasnya, Umno enggan menumbangkan kerajaan PN sewaktu pengundian pembentangan Belanjawan 2021 sebelum ini.

Katanya, jika perkara itu berlaku, keadaan sukar akan dilalui kerajaan selepas PN untuk mentadbir negara, ditambah penularan wabak Covid-19.

“Kita buat (luluskan Belanjawan 2021), kerajaan baru tahun ini dah ok, bajet dah lulus kerajaan baru boleh guna.

“Bajet mesti diluluskan kerana duit nak belaja tahun ini, (kalau tidak lulus) rakyat marah kita nanti kerana mereka tiada gaji. 

“Kita dah buat itu (sokong Belanjawan 2021) dan sekarang bebas nak buat apa. Kalau ada kerajaan baru pun duit dah ada. Itu alasannya,” kata Nazri.

Setakat ini Umno mempunyai 38 ahli Parlimen, termasuk 11 yang menganggotai Jemaah Menteri.

Turut terdapat ahli Parlimen Umno yang dilantik menjadi pengerusi di beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub menjadi ahli Parlimen pertama Umno yang menyatakan beliau tidak lagi menyokong kerajaan PN yang diterajui Bersatu

Dalam sidang medianya hari ini, Ahmad Jazlan yang juga pengerusi Umno Kelantan berkata, langkah itu diambil demi memelihara maruah Barisan Nasional (BN).

Beliau minggu lalu turut melepaskan jawatan pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu juga berkata 189 bahagian parti itu menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang. – 9 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen