Hidupan liar terlibat kemalangan kerana rakyat kurang kesedaran, kata MNS


Kurangnya pemahaman terhadap hidupan liar menjadi punca kepada sikap sambil lewa masyarakat dan pihak tertentu. Selain itu, sikap pengguna jalan raya yang bukan sahaja membiarkan begitu sahaja binatang yang dilanggar, malah ada yang menyiat kulit dan mengambil anggota badan haiwan liar yang menjadi mangsa kemalangan. – Gambar AFP, 26 Disember, 2017.

PIHAK berkuasa harus pantas mencari jalan penyelesaian kematian hidupan liar akibat kemalangan jalan raya, desak Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Henry Goh.

Goh berkata demikian sebagai teguran terhadap sikap pengguna jalan raya yang bukan sahaja membiarkan begitu sahaja binatang yang dilanggar, malah ada yang menyiat kulit dan mengambil anggota badan binatang yang menjadi mangsa kemalangan.

“MNS memandang serius kedua jenis sikap itu yang dilihat sebagai kurangnya pemahaman terhadap hidupan liar.

“Berapa banyak lagi kes sebelum ini diberi perhatian? Kes terdahulu masih lagi dalam ingatan, kemudian timbul pula satu lagi kes baru,” katanya merujuk kepada kes tapir mati dilanggar di Jalan Seremban-Kuala Pilah, Jumaat lalu.

Justeru, Goh menggesa agensi dan badan kerajaan seperti Jabatan Perhilitan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, pihak polis dan Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

 

Antara kes hidupan liar yang mati dilanggar di jalan raya adalah kes harimau belang yang dilanggar MPV di LPT2 Februari tahun lalu. Selain itu, pada Ogos lalu, seekor anak gajah mati dilanggar bas di Gerik, Perak, dan seekor tapir juga mati dilanggar di Jeli, Kelantan pada Oktober lalu.

Selain itu, beliau turut meminta pihak berkenaan mengeluarkan laporan siasatan kematian seekor tapir yang mati di Chukai, Terengganu dua bulan lalu.

Data dari Jabatan Perhilitan menunjukkan jumlah kematian hidupan liar akibat kemalangan jalan raya

“Tiada laporan yang dikeluarkan mengenai kes kemalangan jalan raya yang melibatkan seekor tapir dua bulan lalu.

“Adalah dialu-alukan jika laporan siasatan kes tersebut dikeluarkan,” kata Goh.

Dalam pada itu, beliau menyarankan pihak berkuasa bertemu dan bekerjasama dengan NGO untuk berbincang serta mendapatkan khidmat nasihat bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini.

Henry berkata pihaknya serta NGO yang lain bersedia menghulurkan bantuan kepada pihak kerajaan dalam menyelamat dan melindungi hidupan liar di Malaysia serta habitatnya.

Tambahnya, isu hidupan liar mati dilanggar bukanlah perkara baharu di negara ini, namun kelihatan seperti masih tiada jalan penyelesaian yang berkesan bagi mengatasi masalah ini. – 26 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen