Banjir bertambah buruk tanpa dasar, undang-undang baharu, kata aktivis


Ravin Palanisamy

Penebangan hutan dan aktiviti pembalakan tidak terkawal menyumbang kepada bencana banjir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Januari, 2021.

TERDAPAT keperluan untuk mengkaji dan meminda undang-undang untuk perlindungan hutan dan alam sekitar yang lebih baik daripada pembalakan haram dan penebangan hutan, kata aktivis alam sekitar. 

Menurut mereka, kerajaan juga perlu mempunyai dasar penyesuaian yang cukup bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap perubahan iklim.

Mereka berkata kegagalan kerajaan untuk menangani isu penebangan hutan dan pembalakan menjadi faktor utama situasi banjir semakin buruk di negara ini, terutamanya di negeri Pantai Timur. 

Terutamanya Pahang, yang menjadi negeri paling teruk dilanda banjir tahun ini apabila ribuan penduduk terpaksa dipindahkan dari kediaman masing-masing. 

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Shariffa Sabrina Syed Akil berkata situasi banjir akan lebih parah pada tahun akan datang sekiranya tiada langkah konkrit diambil bagi mengatasinya. 

Beliau berkata kerajaan perlu mengambil iktibar daripada masa lalu dan mengambil tindakan segera untuk mengkaji dan meminda Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhutanan Negara 1984 bagi melucutkan kuasa terhadap perhutanan daripada kerajaan negeri dan diserahkan kepada kerajaan persekutuan, antara lain. 

Katanya Akta berkenaan juga sudah hampir 40 tahun dan sudah tidak relevan dalam memulihara dan melindungi hutan, terutamanya untuk generasi akan datang. 

“Selagi kita tidak meminda Perlembagaan Persekutuaan dan Akta Perhutanan Negara 1984, tidak mungkin kita dapat selamatkan hutan. 

“Di bawah perlembagaan Malaysia, pengurusan hutan jatuh di bawah bidang kuasa negeri tetapi ia sepatutnya ditukar bawah kerajaan persekutuan. 

“Akhirnya kita akan kehilangan sumber semula jadi dan kita akan miskin dan bencana ini akan berterusan sekiranya tiada tindakan diambil. 

“Akhirnya siapa yang akan menderita? Semua penduduk kampung.” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sepasang suami isteri terpaksa menggunakan bot untuk membawa anak merek berpindah ke tempat selamat dalam kejadian banjir di Temerloh, Pahang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Januari, 2021.

Katanya tindakan individu yang tamak menyebabkan penduduk terutamanya di kampung menderita dan kerajaan digesa campur tangan untuk menghentikan aktiviti ini dengan segera. 

“Saya boleh katakan punca banjir ini 100% daripada penebangan hutan dan aktiviti pembalakan. 

“Selama ini saya perjuangkan kerana saya tahu ini semua akan berlaku. 

“Situasi ini boleh menjadi makin buruk setiap tahun sekiranya kita tidak menghalang aktiviti pembalakan,” kata Shariffa yang sebelum ini pernah membuat aduan mengenai pencerobohan syarikat pembalakan di tanahnya pada November dan mencemari sungai berhampiran di Bentong. 

Beberapa negeri didakwa turut “menjual” kawasan hutan kepada entiti swasta yang kemudiannya akan melakukan aktiviti pembalakan atau menukar kawasan itu kepada ladang atau kebun. 

Kedah dan Kelantan telah lama didakwa membiarkan kawasan hutan mereka dimusnahkan manakala rakaman dari udara di Pahang turut menunjukkan kawasan hutan diteroka untuk pembangunan, terutamanya di Maran dan Raub, dua kawasan yang teruk dilanda banjir.

Gagal tingkatkan ketahanan ekosistem

Sementara itu Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meena Raman berkata, penerokaan hutan mnjadi faktor utama berlaku banjir besar tahun ini. 

“Penebangan hutan, pembalakan atau apa sahaja yang mengganggu kemampuan tanah untuk menyerap atau menjadi span, pasti akan menyebabkan banjir yang memberi kesan buruk apabila ia tidka mampu menampung jumlah air. 

“Selain pembalakan dan penebangan hutan, semua perubahan infrastruktur seperti penurapan jalan di mana-mana sahaja dan lain-lain dibuat tanpa menghormati hutan. 

“Kita tidak berikan perhatian kepada perkara ini,” katanya. 

Meena juga berkata Malaysia telah gagal dalam meningkatkan ketahanan dalam ekosistem yang secara asasnya dapat membantu untuk mengatasi perubahan cuaca. 

“Kami tidak berikan perhatian secukupnya terhadap kerentanan yang akan dihadapi oleh negara-negara akibat perubahan iklim yang meningkat.
 
“Perubahan iklim juga akan meningkatkan risiko, seperti menyebabkan banjir dan peningkatan hujan. – 9 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen