Keluarga masih bingung, mana Moganambal?


Kalidevi Mogan Kumarappa

Anak lelaki Janarthanan Vijayaratnam, P Logitharan menunjukkan tag bagasi dari beg ayahnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2021.

KELUARGA Moganambal Govindasamy menuntut polis memberi kepastian sama ada wanita itu masih hidup atau sudah meninggal dunia selepas lebih setahun hilang.

Kakaknya G Vasanthi berkata mereka juga menuntut penjelasan sama ada wanita itu berada di lokasi kejadian tembak menembak yang mengorbankan tiga lelaki.

Ketiga-tiganya terdiri daripada adik lelaki mereka Thavaselvan, suami Moganambal yang merupakan lelaki berasal dari Sri Lanka, Janarthanan Vijayaratnam, dan seorang lagi lelaki.

Vasanthi percaya Moganambal, 35, hilang selepas berada di lokasi tersebut semasa kejadian tembak-menembak tersebut di Batu Arang, Gombak, namun polis menafikannya.

“Moganambal yang turut berada di dalam kereta bersama tiga lelaki itu hilang dan statusnya juga tidak dijelaskan polis sehingga kini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Dalam perbicaraan kes yang sedang berjalan di Mahkamah Shah Alam, nama adik saya tidak disebut langsung.

“Ia hanya perbicaraan membabitkan kes tembak mati adik ipar, Janarthanan Vijayaratnam, adik lelaki saya, Thavaselvan dan rakannya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Perbicayaan yang sedang berjalan itu merupakan inkues ke atas kematian tiga lelaki terbabit

Vasanthi berkata mereka hanya dimaklumkan polis bahawa kes Moganambal diklasifikasikan sebagai orang hilang.

“Tetapi kami hendak tahu di mana dia hilang sebenarnya? Adakah dia hilang selepas polis tembak mati tiga lelaki bersamanya atau hilang sebaik keluar rumah?

“Kami ingin tahu sama ada di masih hidup atau sudah ditembak mati bersama suami dan adiknya.”

Tegasnya, polis perlu menjelaskan perkara sebenar kerana keluarga mendakwa dimaklumkan seorang pegawai polis pada hari kejadian bahawa Moganambal ditahan.

Vasanthi juga mempersoalkan tuduhan bahawa suami Moganambal, Janarthanan yang mempunyai kerakyatan British sebagai suspek pecah rumah kerana baru pulang dari luar negara pada waktu itu.

“Dia bersama Moganambal baru pulang ke Malaysia dan bagaimana dia boleh dikaitkan dengan kegiatan jenayah pecah rumah.

Pasangan tersebut baru tiba di Malaysia pada 27 Ogos 2019 bersama tiga anak selepas menetap di United Kingdom selama enam tahun, katanya.

“Kami cuba berharap kepada mahkamah untuk pengadilan yang sewajarnya,” katanya.

Tiga lelaki tersebut ditembak mati polis dalam kejadian berbalas tembakan selepas dikejar sejauh beberapa kilometer di Jalan Batu Arang, Rawang.

Polis menganggap kes yang disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh itu selesai dan pihaknya akan memberi keterangan dalam inkues.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmad berkata semua pihak yang terlibat termasuk pegawai polis berpangkat dan kakitangan dipanggil untuk memberi keterangan.

“Kes wanita itu masih disiasat sebagai kes orang hilang. Tiada maklumat baru yang kami terima.

“Kes tembak sudah selesai dan kini di dalam inkues. Maklumat inkues masih dalam mahkamah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Inkues bagi menyiasat kematian tiga lelaki yang ditembak mati oleh polis itu sepatutnya bermula 22 Disember lalu di Mahkamah Sesyen Shah Alam. – 9 Januari, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen