Suhakam siasat polis terlibat kes tembak mati Batu Arang


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata siasatan sudah dimulakan terhadap insiden tembak mati tiga lelaki di Batu Arang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2019.

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sudah memulakan siasatan ke atas insiden tembak mati tiga lelaki di Batu Arang, Rawang dan akan menemubual pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam masa terdekat.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph memberitahu The Malaysian Insight, siasatan dibuka hasil laporan waris tiga lelaki yang ditembak mati itu.

Dalam kejadian pada 14 September lalu, polis menembak mati tiga lelaki yang diumumkan sebagai suspek perompak. Ketiga-tiga lelaki itu, termasuk seorang rakyat Sri Lanka, Janarthanan Vijayaratnam, 40, mati di tempat kejadian.

Menurut Joseph, Suhakam menemubual beberapa ahli keluarga tiga lelaki berkenaan, yang menimbulkan pelbagai tanda dan persoalan.

“Kami masih meneruskan siasatan kes ini. Kami sudah menemubual beberapa ahli keluarga dan akan berjumpa dengan individu lain termasuk polis dan lain-lain.

“Mereka akan ditemubual dalam masa terdekat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Joseph berkata temubual Suhakam ini adalah proses biasa dalam siasatan agensi hak asasi manusia itu.

“Kami sudah bermesyuarat dengan Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin dan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor. Perbincangan berjalan lancar dan mereka memberi jaminan kerjasama penuh sepanjang siasatan,” katanya.

Peguam P Uthayakumar menuntut Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador bertanggungjawab ke atas kehilangan Moganambal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2019.

Suhakam juga akan meneliti semua aspek kes, termasuk menyemak kamera yang dipasang pada papan pemuka bahagian dalam kereta peronda polis yang terlibat.

Menurut Joseph, Suhakam juga akan membongkar misteri kehilangan isteri Janarthanan, G Moganambal, yang dilaporkan tidak dapat dikesan sejak peristiwa 14 September lalu.

Salah seorang yang ditembak mati dikenali sebagai G Thavaselvan, 31, adik kepada Moganambal.

Tiga lelaki itu, termasuk S Mahendran, 23, ditembak mati oleh polis pada awal pagi 14 September selepas kereta mereka dikejar polis kerana disyaki perompak.

Keterangan polis menyebut ketiga-tiga lelaki itu ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan selepas dikejar.

Polis mengesyaki ketiga-tiga mereka sebagai perompak, dan merampas dua pistol, parang dan topeng ski. Kereta yang dinaiki itu juga didapati kenderaan curi.

Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaluddin berkata dua daripada lelaki yang ditembak mati itu adalah anggota kumpulan kongsi gelap Geng 08 dan terlibat dalam beberapa rombakan di Selangor.

Polis juga menegaskan Moganambal tidak berada di dalam kereta ketika ketiga-tiga mangsa ditembak mati.

Anggota keluarga mangsa bagaimanapun mendakwa menerima maklumat daripada seorang anggota polis bertugas di Balai Polis Bandar Country Homes bahawa ada empat individu yang ditembak mati, dan bukannya tiga sebagaimana kenyataan polis.

Keluarga itu juga mendedahkan kepada Suhakam rakaman kamera litar tertutup di sebuah lobi apartmen yang menunjukkan Moganambal keluar bersama tiga lelaki itu pada malam kejadian.

Semasa kejadian, Janarthanan dan Moganambal berstatus penduduk tetap United Kingdom dan sedang bercuti di Malaysia bersama tiga anak mereka.

Peguam P Uthayakumar menuntut Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador bertanggungjawab ke atas kehilangan Moganambal.

Uthayakumar juga menolak inkues yang diumumkan oleh polis dan menyifatkannya sebagai membuang masa. – 23 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen