Keluarga Moganambal boikot inkues


Diyana Ibrahim

Peguam P Uthayakumar berkata kehadiran keluarga ke inkues tersebut hanya akan memberi justifikasi kepada polis untuk mempertahankan tembakan maut itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2019.

KELUARGA Moganambal Govindasamy bertegas tidak akan menghadiri inkues kematian suami serta adik wanita itu yang ditembak mati polis pada September lalu.

Peguam P Uthayakumar berkata kehadiran keluarga ke inkues tersebut hanya akan memberi justifikasi kepada polis untuk mempertahankan tembakan maut itu.

Sedangkan, anggota terbabit perlu menerima hukuman kerana melepaskan tembakan sehingga mengakibatkan kematian, katanya.

“Keluarga tidak terima inkues sebab polis siasat jenayah mereka sendiri, kalau polis buat salah siapa nak siasat, sebab itu perlu ada Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC).

“Mereka keluarga mahu polis yang membunuh anak mereka perlu itu perlu didakwa atas pembunuhan, tak perlu inkues,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketika ditanya, beliau juga berkata tiada kesalahan jika keluarga tidak menghadiri inkues melainkan disepina oleh mahkamah.

“Terpulang untuk keluarga untuk hadir atau tidak, mereka boleh pilih untuk tidak datang melainkan disepina pihak mahkamah,” katanya.

Inkues yang sepatutnya bermula pada Jumaat ditangguhkan ke 21 Januari kerana peguam dan keluarga si mati enggan hadir dan juga kerana dokumen berkataian masih tidak lengkap.

Dalam kejadian September lalu polis menembak mati suami Moganambal, Janarthanan Vijayaratnam yang merupakan warga Sri Lanka pemegang status penduduk tetap UK.

Adik wanita itu dinamakan sebagai Thevasalan dan seorang lagi adalah rakannya, Maghendran Santhirasegaran

Menurut polis, tiga suspek kes samun bersenjata itu maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di kilometer 22, Jalan Rawang, menghala Batu Arang.

Polis turut mengesahkan dua daripada mereka yang ditembak mati, adalah anggota kumpulan kongsi gelap 08 dan seorang lagi mempunyai rekod pemutihan Jabatan Imigresen, pada 2013.

Keluarga turut mendakwa Moganambal turut berada dalam kereta semasa kejadian tembak menembak berkenaan dan kini dipercayai masih hilang.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mencadangkan inkues diadakan untuk menyiasat insiden tersebut kerana banyak kenyataan yang bercanggah dan tuduhan dilemparkan

Hamid juga yakin anggotanya telah bertindak dengan sepatutnya dengan mengikut prosedur operasi standard.

Bagaimanapun, polis amat jelas melakukan kesalahan dalam kejadian itu, berdasarkan laporan yang dibuat isteri kepada salah seorang mangsa, kata Uthayakumar.

“Namun polis dijangka akan mengulangi apa yang mereka dakwa sebelum ini dengan cerita dongeng yang selalu mereka lakukan untuk tutup kesalahan,” sindirnya.

Dakwanya, cerita dongeng itu akan melibatkan kenyataan polis melihat suspek dalam keadaan mencurigakan, kejadian suspek dikejar dan suspek ditembak mati.

“Yang polis tidak cedera tapi kereta si mati mesti ada pistol, peluru dan si mati pula mesti akan ada kes rogol, liwat cabul dan ini yang disiarkan polis bagi justifikasi pembunuhan,” dakwanya.

Beliau berkata, tidak ada undang-undang di Malaysia yang membenarkan tembak mati mana-mana individu.

“Tapi apa yang berlaku kini ialah seorang lelaki penduduk tetap UK tidak bersalah datang bercuti bersama keluarga dan ditembak mati.

“Dan cerita sama diulang polis dan tidak ada orang yang percaya. Polis hanya memperbodohkan keluarga,” katanya.

Pada masa sama beliau menggesa amalan polis yang menembak rambang mangsa tidak bersalah dihentikan.

Beliau juga menggesa Peguam Negara untuk mengambil tindakan ke atas polis yang menembak ketiga mangsa tersebut.

Tambahnya, keluarga si mati kini menderita kerana menantu dan anak lelaki mereka ditembak mati dan Moganambal pula masih tidak dapat dikesan. – 20 Disember, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen