Facebook sekat akaun Trump kerana hasutan keganasan


Ketua Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg berkata sekatan akaun Donald Trump di Facebook dan Instagram dilanjutkan kerana menggunakan platform itu untuk menghasut keganasan. – Gambar EPA, 8 Januari, 2021.

FACEBOOK melarang Presiden Donald Trump menggunakan platform media sosial itu “selamanya” susulan hasutan keganasan di Capitol AS, kata Ketua Eksekutif Mark Zuckerberg semalam.

Zuckerberg berkata larangan sehari yang dikenakan pada akaun Trump di Facebook dan Instagram dilanjutkan kerana Trump menggunakan “platform kami untuk menghasut pemberontakan ganas terhadap kerajaan yang dipilih secara demokratik”.

Ketua pegawai eksekutif Facebook itu menambah “peristiwa mengejutkan dalam tempoh 24 jam terakhir menunjukkan dengan jelas Presiden Donald Trump berhasrat untuk menggunakan masa yang ada untuk menjatuhkan peralihan kuasa secara aman dan sah kepada penggantinya yang terpilih, Joe Biden”.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas pemimpin AS itu disekat daripada semua platform media sosial utama kerana dakwaan palsu mengenai kekalahannya kepada Biden, dan kerana menghasut orang ramai yang marah agar menyerbu Capitol AS.

“Kami percaya risiko membiarkan presiden terus menggunakan perkhidmatan kami dalam tempoh ini terlalu besar,” tulis Zuckerberg di laman Facebooknya.

“Oleh itu, kami melanjutkan sekatan yang kami laksanakan di akaun Facebook dan Instagram beliau selama-lamanya dan sekurang-kurangnya dua minggu akan datang sehingga peralihan kuasa secara damai selesai.”

Twitter menyekatnya selama 12 jam selepas memaksa Trump mengeluarkan tweet yang melanggar peraturan.

Mesej Trump adalah pelanggaran peraturan platform mengakibatkan akaun @realDonaldTrump digantung, kata Twitter.

Twitter semalam berkata ketika tempoh sekatan berakhir, pihaknya “terus menilai keadaan dalam waktu nyata, termasuk memeriksa kegiatan di lapangan dan kenyataan dikeluarkan dari Twitter” untuk menentukan sama ada lebih banyak tindakan penguatkuasaan diperlukan.

Snapchat turut mengesahkan pada Khamis ia menyekat Trump daripada platform perkongsian foto susulan kebimbangan mengenai retoriknya yang berbahaya.

Pengumuman media sosial itu dibuat selepas penyokong Trump menyerbu Capitol AS pada Rabu dalam serangan yang belum pernah terjadi, menyebabkan polis menembak seorang wanita yang kemudiannya meninggal dunia, mengganggu prosedur yang biasanya dilakukan untuk mengesahkan kemenangan pilihan raya Biden. – AFP, 8 Januari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen