Sektor hartanah, perniagaan Johor terjejas susulan pembatalan projek HSR


Bernard Saw

Pembatalan projek HSR menyebabkan Malaysia terlepas peluang besar untuk meningkatkan ekonomi di selatan Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2021.

PEMAIN sektor hartanah di Johor ditinggalkan begitu sahaja selepas pembatalan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Pelan dan pelaburan bagi pembangunan hartanah baharu yang disasarkan untuk pasaran Singapura kini terjejas dan mereka yang berada dalam industri ini berpendapat Malaysia hilang peluang besar untuk meningkatkan ekonomi Johor selatan.

Perniagaan yang membeli tanah bagi memulakan usaha baharu dan bahkan mengambil pinjaman adalah antara yang paling rugi dengan pembatalan HSR, kata mereka di dalam dewan kumpulan perdagangan Johor.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah Malaysia (Rehda) Johor, Wong Boon Lang berkata sektor berharap dengan HSR, rakyat Singapura akan membeli lebih banyak hartanah dan melabur di negeri ini.

“Projek kereta api akan membawa jumlah orang yang lebih tinggi dan membolehkan warga Singapura meneroka peluang pelaburan di Johor, termasuk membeli rumah di sini kerana waktu perjalanan akan menjadi lebih pendek antara Johor dan republik itu,” kata Wong.

Menurut rancangan asal, Johor akan mempunyai tiga stesen di sepanjang laluan HSR - Muar dan Batu Pahat di utara dan Iskandar Puteri di selatan.

HSR akan mengurangkan masa perjalanan antara Singapura dan Johor utara dari masa pemanduan dua jam kepada kurang dari sejam.

“Muar dan Batu Pahat akan menjadi lokasi pilihan pelabur Singapura untuk menerokai di luar Johor Baru,” tambah Wong.

Singapura dan Malaysia bersama-sama mengumumkan pembatalan HSR pada 1 Januari, empat tahun perancangan sejak perjanjian dua hala ditandatangani pada 2016.

Pembatalan itu dilakukan selepas kedua-dua negara tidak dapat mencapai kesepakatan pada saat tarikh akhir lanjutan perbincangan yang berakhir pada 31 Disember.

Perkara utama perselisihan projek kereta api sejauh 350km, menurut jawapan di Parlimen Singapura, adalah permintaan Malaysia untuk membuang syarikat aset (AssetsCo) yang akan membekalkan kereta api dan sistem HSR serta mengendalikan operasi rangkaian kereta api.

Pada 2016, kedua-dua negara bersetuju AssetsCo penting untuk melindungi kepentingan mereka dan Singapura tidak setuju dengan penyingkirannya.

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad, bagaimanapun, mencadangkan rangkaian kereta api dari Kuala Lumpur hingga ke Johor Baru saja, dengan berkata ia masih boleh memberi keuntungan kepada pasaran domestik.

Tetapi Wong tidak setuju dengan berkata jajaran yang lebih pendek tidak sesuai kerana tidak akan memberi dorongan ekonomi seperti jajaran ke Singapura. Pulangan diperoleh Malaysia daripada projek ini juga tidak besar.

“Kita harus memikirkan untuk membawa dana asing, menggiatkan semula ekonomi, pelancongan, dan pergerakan rakyat. Tanpa jajaran ke Singapura, ia tidak akan memberi kesan yang besar.”

Wong meluahkan kekecewaannya kerana projek itu dibatalkan selepas empat tahun perjanjian dua hala ditandatangani.

“Orang sudah membeli tanah di dekat stesen yang dicadangkan, malah ada yang sudah memulakan pembinaan, ada yang menjual rumah dan mengambil pinjaman.

“Ia rancangan empat tahun dan pembatalan projek akan beri kesan yang serius. Ia bukan hanya mengenai pelaburan, tetapi juga pertukaran dengan Singapura. Ini melibatkan banyak sumber dari Singapura, dan situasi ini mengecewakan.

“Kami berharap jajaran kereta api dapat dihidupkan kembali pada masa depan,” kata Wong. – 8 Januari, 2021. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen