Tidak perlu pakej rangsangan kecuali Covid-19 bertambah buruk, kata pakar ekonomi


Ragananthini Vethasalam

Pelaksanaan segera dan efisien langkah dirancang dalam belanjawan terutama program vaksinasi negara, sangat penting untuk pertahankan momentum pemulihan ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2021.

RANGSANGAN ekonomi lebih banyak mungkin tidak diperlukan jika keadaan Covid-19 dalam negara tidak bertambah teruk pada 2021, kata para ahli ekonomi.

Mereka berkata Belanjawan 2021 merangkumi beberapa langkah rangsangan dan sokongan yang lebih disasarkan untuk golongan rentan, dan dengan kebanyakan sektor ekonomi beroperasi seperti biasa lagi.

Namun, mereka berasa Malaysia mungkin tidak mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.5% bagi 2021 kerana unjuran tersebut berdasarkan pengurangan kes Covid-19.

Malaysia mencapai jumlah tertinggi dalam kes harian, dengan purata antara 1,000 hingga 2000 jangkitan baharu sehari.

Profesor Ekonomi Fakulti Perniagaan Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata pelaksanaan segera dan dan efisien langkah dirancang dalam belanjawan, terutama program vaksinasi negara, sangat penting untuk mempertahankan momentum pemulihan.

“(Namun) sekiranya ada tanda lebih jelas pertumbuhan berbentuk U atau K berlaku pada separuh kedua, pakej rangsangan lain mungkin diperlukan untuk mengatasi jurang  dan rekahan ekonomi,” katanya.

Pemulihan berbentuk U berlaku ketika ekonomi mengalami penurunan drastik dalam metrik utama seperti pekerjaan, KDNK, dan output industri tanpa penentuan yang jelas.

Ini diikuti pemulihan yang panjang di peringkat kemelesetannya sebelum beransur-ansur pulih.

Pemulihan berbentuk K berlaku selepas kemelesetan dengan bahagian ekonomi yang berbeza pulih pada kadar, masa, atau magnitud berbeza.

Felo Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Dr Shankaran Nambiar berkata kerajaan kemungkinan besar tidak akan melaksanakan sekatan atau lebih banyak pakej rangsangan melainkan jika tahap kes meningkat.

“Tiada keperluan untuk pakej seperti itu kerana kebanyakan industri sudah kembali beroperasi dan kebanyakan aktiviti ekonomi disambung semula,” katanya.

“Kerajaan lebih cenderung melihat pemulihan ekonomi dengan membuat projek mega,” tambahnya.

Beliau juga memberi amaran yang sebahagian rakyat Malaysia masih ketinggalan.

“Beberapa program seperti digitalisasi, hanya akan menguntungkan segmen ekonomi tertentu - tetapi bukan mereka yang kurang mahir, tidak mahir dan B40, yang mungkin ketinggalan,” katanya.

Nambiar berkata masih belum pasti bagaimana penyebaran virus itu memberi kesan kepada seluruh dunia dan Malaysia.

Kegiatan ekonomi akan meningkat jika wabak itu mereda pada suku kedua, katanya.

Ini juga bergantung kepada keadaan di Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan United Kingdom, tambahnya.

Nambiar berkata, dalam keadaan kurang optimis, kes Covid-19 di Malaysia dan luar negara hanya akan mulai berkurang pada separuh kedua tahun ini.

“Penerima vaksin awal adalah barisan hadapan dan ini akan membantu melindungi mereka yang paling berisiko. Jumlah ini tidak akan mencukupi untuk mengekang penyebaran Covid-19,” tambahnya. – 7 Januari, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen