Ahmad Maslan setiausaha agung baharu BN


Ketika ditanya pemberita, ahli parlimen Pontian itu bagaimanapun enggan menjelaskan sebab di sebalik pemecatan Annuar di jawatan tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2021.

SETIAUSAHA Agung Umno Ahmad Maslan mengesahkan beliau dilantik sebagai setiausaha agung baharu Barisan Nasional (BN) menggantikan Annuar Musa.

Ketika ditanya pemberita, ahli parlimen Pontian itu bagaimanapun enggan menjelaskan sebab di sebalik pemecatan Annuar di jawatan tersebut.

“Saya cuma ganti dia. Itu saja,” katanya kepada wartawan di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini yang menjadi lokasi pertemuan para ketua bahagian dengan presiden parti hari ini.

Terdahulu, sumber mengesahkan kepada The Malaysian Insight mengenai pemecatan Annuar, yang berulang kali bergeser dengan para pemimpin parti.

Menurut sumber tersebut, keputusan itu dimaklumkan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno kepada menteri Wilayah Persekutuan itu hari ini.

“Beliau dipecat hari ini,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Seorang lagi sumber berkata Annuar dikenakan tindakan itu kerana tidak menepati prinsip parti dan dilihat lebih berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu.

Susulan itu, timbul desakan agar Annuar dipecat seperti disuarakan Umno Bahagian Pasir Puteh yang mendakwa bekas ahli Parlimen Ketereh itu tidak menghormati dan mendahului presiden parti.

Usul itu dicadangkan oleh Ketua Pemuda Umno Pasir Puteh Muhammad Saifullah Ali pada mesyuarat perwakilan bahagian itu pada Sabtu.

Cadangan itu muncul selepas Annuar menegur Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi berhubung pergelutan parti itu dengan PAS dalam merundingkan kerusia pilihan raya umum akan datang.

Tindakan Annuar yang lebih mempertahankan PN berbanding Umno dalam beberapa isu juga mencetuskan kemarahan pemimpin Umno seperti Ahli Majlis Tertinggi Puad Zarkashi. – 5 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen