Datuk bandar Jocelyn Yow galak belia Malaysia sertai politik


Hailey Chung Wee Kye

Datuk Bandar Eastvale Jocelyn Yow berkata belia perlu diberi peluang untuk menyertai politik kerana mereka yang menentukan masa depan. – Gambar Facebook, 4 Januari, 2021.

GOLONGAN belia sepatutnya diajar tentang tadbir urus, sains politik dan hak mengundi sejak dari muda, kata gabenor di sebuah bandar di California, Jocelyn Yow yang berusia 25 tahun.

Yow, berketurunan Malaysia-Vietnam dalam satu sesi atas talian bersama belia Malaysia, berkata sepanjang beliau membesar, politik adalah perkara yang dilarang untuk dibincangkan, sama ada di rumah atau di sekolah.

Yow berasal dari Kedah. Beliau juga baru saja bergelar ibu selepas melahirkan bayinya tujuh bulan lalu.

“Saya tidak tahu apa-apa tentang politik, kecuali berkenaan Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri kita.

“Sesekali saya nampak bendera berkibar ketika musim pilihan raya, dan itu saja,” katanya menerusi persidangan maya secara Zoom awal pagi tadi.

Sesi  itu dianjurkan oleh Persatuan Pendidikan Tinggi Malaysia (HEYA) dengan topik bertajuk “Penyertaan Belia dalam Tadbir Urus Awam: Bagaimana Memacu Perubahan?”

Datuk bandar Eastvale yang baru saja dipilih bulan lalu itu berharap lebih ramai belia akan berminat dalam politik supaya mereka boleh menentukan masa depan sendiri.

“Rakan saya menggambarkannya seperti ini: ‘Adakah anda akan minta nenek pilihkan baju anda?’ Saya tidak mahu begitu. Jadi kenapa tidak anda pilih baju anda sendiri?

“Ia dasar yang sama, mahukah anda seseorang yang mungkin tidak ada lagi dalam tempoh 20 hingga 30 tahun lagi buat keputusan untuk masa depan anda? Tidak, sudah tentu tidak.”

Beliau menggesa belia untuk terbabit dalam perbualan politik dan ibu bapa perlu mewujudkan persekitaran konstruktif di rumah untuk kanak-kanak menghargai dan memahami isu seumpama itu.

“Saya ada anak, dia baru saja tujuh bulan.

“Saya bawa dia ketika mengundi pada November lalu. Saya memang hendak bawa dia sebab saya mahu itu jadi satu kebiasaan.”

Beliau terjun dalam dunia politik kerana berasakan cara terbaik untuk belajar tentang politik ialah dengan bertanding jawatan dalam majlis perbandaran.

“Hakikatnya ialah politik memberi kesan dalam kehidupan seharian kita.”

Menurut laporan berita, pengalaman awal Yow dalam politik ialah dengan menjadi ahli majlis Eastvale pada pilihan raya 2018.

Keluarganya masih bukan warganegara Amerika Syarikat (AS) dan Yow berkata beliau mahu mengangkat suara individu yang seperti mereka.

Sebagai pelarian Vietnam dan pendatang rakyat Malaysia, dan kemudian menjadi warga asing di AS, ibu bapanya berdepan kesukaran dalam meneruskan kelangsungan hidup.

“Ia menjadi tanggungjawab saya untuk menjadi suara mereka. Saya tidak akan tipu, yang ia sememangnya sangat sukar.

“Masih ada orang yang berpegang kepada kepercayaan ‘ini tanah kami, anda siapa?’ dan ada yang melihat orang seperti kami sebagai warga asing.

“Tetapi ada juga orang lain yang faham. Ramai sebenarnya, walaupun mereka berkulit putih, ada keluarga pendatang dan melalui pengalaman hampir serupa.”

Yow mencipta sejarah sebagai wanita termuda daripada kalangan bukan kulit putih, yang dipilih menjadi datuk bandar Eastvale.

“Bila Presiden Donald Trump dipilih, ia benar-benar mencetuskan keadaan di mana ramai orang mahu bertanding.

“Kita sedang melihat trend siapa yang berkhidmat di pejabat majlis perbandaran tempatan.

“Saya fikir lebih aik ada ramai wanita muda dan golongan muda yang berkhidmat untuk rakyat.”

Yow berkata Eastvale adalah bandar muda, berusia 10 tahun yang bermula dengan ladang ternakan, dan kini menjadi kediaman kepada lebih 75,000 orang.

Berkenaan tumpuan yang diterimanya, beliau berasakan ia kerana kurangnya kepelbagaian kepimpinan dalam dunia politik.

“Tidak ramai golongan ibu yang ramai bekerja di pejabat, atau wanita minoriti, tetapi kita menerima semakin ramai golongan muda.

“Ia masih satu proses dan pemilihan saya memberikan rakyat satu harapan.”

Menjawab soalan berkenaan bagaimana Malaysia boleh kekal kompetitif di peringkat global, beliau berkata rakyat Malaysia memang bersikap mudah suai dan berfikiran terbuka kepada persekitaran baharu.

Katanya, pelaburan dalam pembangunan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) juga adalah sesuatu yang bagus. – 4 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen