APLIKASI yang dicadangkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) agar pekerja membuat aduan mengenai majikan yang mengabaikan kebajikan mereka disambut baik oleh kumpulan hak asasi manusia.
Organisasi Tenaganita bagaimanapun mempersoalkan adakah pihak berkuasa akan melayan semua aduan dengan adil dan telus, termasuk terhadap pekerja yang tidak mempunyai dokumen.
“Bolehkah kementerian beri jaminan akan telus terhadap semua aduan pekerja ini, walaupun mereka tidak berdokumen?
“Apabila syarikat mengambil anda bekerja dan membayar gaji, anda adalah pekerja, sama ada anda berdokumen atau tidak. Bolehkah kementerian nyatakan ia akan adil dan telus terhadap semua aduan pekerja?” tanya Pengarah Eksekutif Tenaganita Aegile Fernandez.
Kumpulan itu membangkitkan kebimbangan susulan laporan mengenai majikan yang mengabaikan kebajikan pekerja asing terutamanya pendatang asing tanpa izin (Pati) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.
Meskipun kerajaan berjanji tidak akan menahan Pati untuk mendorong mereka tampil membuat ujian saringan Covid-19, namun pihak berkuasa menyerbu tempat tinggal mereka dan ratusan orang telah ditahan.
Terdapat juga laporan mendakwa wanita dan kanak-kanak pelarian turut ditahan tetapi dinafikan oleh kerajaan.
Pekerja kolar biru sekali lagi jadi tumpuan kerana mereka adalah golongan yang menyumbang sejumlah besar kes Covid-19 di negara ini.
Penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja ini disebabkan majikan gagal menyediakan tempat tinggal yang sempurna kepada mereka.
Bulan lalu, KSM berkata pengeluar sarung tangan getah Brightway Holdings Sdn Bhd dan dua anak syarikatnya di Selangor berdepan 30 pertuduhan meliputi pelbagai kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Antara kesalahan tersebut adalah kegagalan majikan mendapatkan Perakuan Penginapan di bawah Seksyen 24D Akta 446 dan juga pelanggaran Peraturan-Peraturan di bawah Akta 446 yang melibatkan penyediaan kemudahan yang tidak memenuhi spesifikasi standard minimum yang ditetapkan.
Syarikat pembuat sarung tangan getah terbesar dunia Top Glove pula peyumbang utama kes Covid-19 dalam kluster Teratai yang dikesan pada November tahun lalu. Kluster itu merekodkan lebih 4,000 kes positif, mengatasi kluster tabligh Sri Petaling, yang mula-mula tercetus tahun lalu.
Aplikasi yang dicadangkan oleh KSM itu dicetuskan selepas seorang pekerja Nepal di Top Glove dilaporkan dipecat pada September lalu kerana mendedahkan kedaifan tempat tinggal mereka. Pekerja terbabit membuat aduan pada Mei tahun lalu.
Selepas pekerja itu dipecat, pembuat sarung tangan menjadi sumber kluster terbesar di negara ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) juga melaporkan kebanyakan kluster di Malaysia dikesan di kawasan tapak binaan, dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes Covid-19 dijangka akan terus melonjak susulan ujian saringan bersasar yang dijalankan di kawasan berkenaan.
Kluster tempat binaan menunjukkan kebajikan dan perlindungan terhadap pekerja asing di negara ini masih di bawah masih mundur.
The Malaysian Insight baru-baru ini mengikuti serbuan ke atas sebuah kilang sarung tangan getah di Kajang, dan melihat sendiri pekerja asing ditempatkan dalam kontena yang diubahsuai menjadi asrama. Seramai 751 pekerja tinggal dalam kontena sempit dan usang, yang keluasannya hanya mampu memuatkan 100 orang.
Menteri Sumber Manusia M Saravanan pada 26 Disember lalu berkata kementeriannya akan memperkenalkan satu aplikasi baharu yang bakal berfungsi sebagai platform komunikasi dua hala antara kerajaan dengan pekerja tempatan dan asing. – 6 Januari, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen