JABATAN Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia memfailkan 30 pendakwaan terhadap syarikat pengeluar sarung tangan Brightway Holdings Sdn. Bhd dan dua anak syarikatnya atas kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Dua anak syarikatnya adalah Biopro (M) Sdn. Bhd dan La Glove (M) Sdn. Bhd.
Menurut Kementerian Sumber Manusia, Brightway dan Biopro berdepan 22 pendakwaan manakala La Pro berdepan lapan pendakwaan.
Kementerian berkata antara kesalahan termasuklah kegagalan majikan memohon Perakuan Penginapan di bawah Seksyen 24D Akta 446.
Tambahnya berlaku jug apelanggaran Akta termasuk kegagalan memenuhi keperluan minimum untuk penginapan.
“Sekiranya didapati bersalah denda maksimum RM50,000 akan dikenakan terhadap pelaku. Kesemua kertas siasatan kini di peringkat akhir sebelum dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya,” kata kementerian dalam satu kenyataan.
Menurut kementerian berkenaan pihaknya tidak akan berkompromi dengan pelanggaran peraturan di bawah akta berkenaan.
Ia turut menggesa majikan dan penyedia penginapan yang belum mendapatkan perakuan itu berbuat demikian bagi mengelakkan sebarang tindakan.
Tindakan ini diambil hampir seminggu sejak serbuan oleh pelbagai agensi di kilang La Glove dan Biopro.
Operasi turut disertai Menteri Sumber Manusia M Saravanan.
Serbuan mendapati kontena perkapalan diubah menjadi penginapan untuk ratusan pekerja asing.
Saravanan berkata ia merupakan keadaan yang paling teruk yang pernah beliau lihat. – 27 Disember, 2020.
Komen