Menyorot kebudayaan melalui filem


Naim Al-Kalantani

KEBUDAYAAN melalui filem bukanlah satu perkara baru. Kini ada desas-desus di Internet yang berlegar mengenai persoalan bagaimana Korea dapat mengangkat wacana budaya dalam filem mereka. Kita tertanya-tanya di manakah kebudayaan kita yang dapat diselit dalam filem tempatan?

Dalam keadaan tidak sedar, kita sebenarnya mengejar dan masih berada di belakang sahabat serumpun, Indonesia yang mana mendepani agenda wacana kebudayaan ini beberapa tahun kebelakangan ini. Paling tidak, mereka bermula dengan filem Merantau (2009) yang dilakonkan oleh Iko Uwais dan Yayan Ruhian.

Merantau merupakan percikan awal bagi kedua-dua jaguh ini, dan diteruskan lagi dengan filem The Raid (2011) yang mendapat julukan the most exciting action movie of the year dan mereka mula membuka tirai sehingga ke arena antarabangsa.

Beberapa bulan lepas kita dikhabarkan dengan berita gembira iaitu filem Geran (2019) menembusi tayangan di Netflix. Filem yang cuba mengangkat silat Melayu tersebut dicalonkan di beberapa festival filem di serata dunia.

Kita berjaya mendaki satu lagi anak tangga dapat menyiarkan isi kandungan filem yang berupa naratif cerita di samping membawa kebudayaan Melayu ke tengah gelanggang layar lebar. Filem ini baik daripada segi persembahan kebudayaan silat, tetapi tidak begitu baik dari segi teknikal. Pengarah, Areel Abu Bakar sangat berjiwa besar membawa masuk silat ke dalam filem ini sehingga lampu sorot antarabangsa berjaya mengesan filem kita.

Sekarang, apakah persamaan antara Indonesia yang mempunyai Iko dan Yayan manakala Malaysia yang memiliki Khoharullah Majid? Kedua-dua negara ini memiliki pesilat sejati yang mana para pelakon ini berpencak bertempur mula dari gelanggang sehingga berjaya berlakon di hadapan kamera.

Kelemahan yang terpaksa kita akui pesilat tidak pandai berlakon dan pelakon pula tidak pandai bersilat. Pengarah tidak dapat membawa satu cabaran untuk filemnya membuatkan koreografi aksi kelihatan terlalu kaku dan pelik.

Filem Geran dengan bajet sangat rendah bertungkus-lumus untuk mengubah persepsi ini. Mereka membuka satu sisi pandang yang berbeza dan membawa masuk Khoharullah untuk menjadi watak utama.

Saya yakin dan percaya Khoharullah bukanlah pelakon yang mantap, tetapi ilmu dan seni pertarungannya tidak boleh dinafikan. Ia dapat dibuktikan dengan kegemilangannya yang terdahulu – peserta dan menang beberapa kali pertandingan pencak silat negeri dan kebangsaan. Bahkan beliau juga bertanding di Filipina, Sukan SEA, Belgium dan Perancis.

Dengan kewujudan Khoharullah ini kita dapat membuktikan di mata dunia atau sekurang-kurangnya saingan sengit kita Indonesia, bahawa kita turut mempunyai Iko dan Yayan di sini.

Hal inilah yang perlu diterapkan dalam diri pengarah di Malaysia apabila ingin mengangkat kebudayaan Melayu Malaysia – membawa masuk jaguh di dalam gelanggang dan melatihnya untuk berlakon. Bukannya sekadar membawa pelakon yang 500,000 pengikut di Instagram, berbadan sasa, berwajah putih; tetapi tidak berjaya berpencak dengan baik.

Kita tidak mempunyai pelakon yang pandai berbudaya – dalam konteks ini, bersilat. Kebanyakan pelakon-pelakon aksi kita bukan dari kalangan jaguh tempur melainkan mereka berlatih untuk menghafal pergerakan seperti seorang pahlawan.

Kita terpaksa “menyewa” Yayan Ruhian untuk berpencak di pentas Malaysia kerana ketiadaan koreografer dan jaguh untuk berlakon dalam filem Wira (2019) arahan Adrian Teh. Walaupun Hairul Azreen ialah bekas atlit S 2014 dalam sukan taekwondo, tetapi khidmat Yayan masih diperlukan.

Saya agak kaget apabila Yayan menjadi koreografer filem tersebut sedangkan pandai silat di Malaysia ini sangat ramai. Boleh saja kita mencari pemenang Sukan SEA, bahkan pertandingan silat terbuka dunia untuk menjadi pelakon, ataupun sekurang-kurangnya pelatih bagi pelakon.

Kita mempunyai Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir yang berkali-kali menang dalam mana-mana pertandingan pencak silat. Wajah inilah yang perlu dihargai untuk membetulkan kesalahan kecil aksi dalam sesebuah filem.

Saya tidak meletakkan kesalahan ini kepada Adrian Teh, pengarah muda yang sangat berbakat ini melainkan tulisan ini untuk menyorot persoalan yang kita hadapi di atas. Apa yang kita perlu capai sekarang ialah adanya seorang martial artist, bukan sekadar artis.

Untuk meraikan tahun baru, saya menonton Tarung Sarung (2019) yang baru saja ditayangkan di Netflix. Yayan Ruhian kali ini bukan Mad Dog ataupun Shinobi melainkan watak yang agak humoris dan hanya ada beberapa aksi-aksi perlawanan dipersembahkan.

Filem ini berjaya mengangkat satu ritual dari Makassar yang hampir hilang ditelan zaman iaitu Sigajang Laleng Lipa. Ritual ini berupa satu upacara yang menyatukan dua lelaki dalam satu kain sarung dan diberikan badik untuk saling berbunuhan. Ritual yang dimulakan dalam masyarakat Bugis ratusan tahun lalu digambarkan secara mantap dalam filem ini.

Kebudayaan yang hampir hilang dan kemungkinan anak generasi Z, bahkan remaja generasi Y tidak tahu menahu mengenai ritual ini. Filem ini dapat menggambarkan secara tidak langsung ritual ini di samping tidak meninggalkan naratif cerita itu sendiri.

Indonesia terkedepan dalam menangkap segala momen dan kebudayaan mereka dan divisualkan kembali dalam bentuk naratif bersahaja tanpa perlu memberitahu itulah kebudayaan mereka.

Filem genre sebegini tidak banyak dibuat di Malaysia melainkan beberapa pengarah veteran seperti Sabri Yunus dengan dramanya yang banyak mengangkat kebudayaan Kelantan. U-Wei Haji Shaari pada satu ketika dulu juga pernah mengarahkan Jogho (1997) yang dapat memberi membingkaikan kebudayaan Kelantan – Selatan Thailand dengan baik.

Pengarah muda perlu bersiap siaga untuk “bertarung” dengan Indonesia yang memiliki sangat banyak filem berbentuk kebudayaan ini. Dengan tirai baru 2021 ini, saya sangat optimis dengan menyatakan Geran dan Wira adalah satu nyalaan api kecil yang dapat membawa kebudayaan Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi untuk ditunjukkan ke persada antarabangsa. – 2 Januari, 2021.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen