Filem dan seni sebagai bahan bantu politik rakyat


Haris Hauzah

SAMPAI sekarang kisah pawagam yang terpaksa gantung operasi masih belum ada berita dan perkhabaran.

Sementara segalanya masih belum ada solusi, jawapan dan keputusan, kita dilihatkan kesibukan menteri menjenamakan semula agensi-agensi propaganda kerajaan yang kenyang mendapat peruntukan.

Mereka di Finas masih keras kejung dalam bilik mesyuarat tak ketahuan apa yang perlu buat. 

Nah, harus bagaimanakah kita menginterpretasikan ini dalam suatu apresiasi?

Hidup ini memang tak banyak beda dengan segala cerpen, novel atau puisi yang pernah kita baca.

Selalu diri kita terlihat sebiji sebulat sama dengan watak-watak yang disorot dan diplot dalam filem yang pernah kita tonton.

Bahkan sering juga lagu-lagu yang jadi penyedap halwa telinga seakan bercerita kisah malang dan hampa riwayat epik percintaan kita.

Semua itu serasa dekat, peribadi, nyata dan bukan suatu yang pura-pura.

Demikian seni, sastera dan budaya menginspirasikan manusia. Imaginatif rasa dalam filem, buku dan lagu selalu dekat dengan diri dan jiwa. Ia juga tidak lari jauh dari bahasa khalayak masyarakatnya.

Adapun sekarang ini makin kerap badan kita serasa pedih dan bisa.

Usul undi percaya dan usul undi tidak percaya dah terlalu selalu dan biasa. Malah ia jauh lebih penting dari kesediaan Parlimen membahaskan laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Sakit dan sengal yang awalnya hanya di tapak kaki kini dah jadi lengar melarat ke kepala.

Lihat saja dua tiga YB muda pembangkang yang ketar kaki nak berdiri menentang Belanjawan 2021. Apabila blok pembangkang gagal menyepakatkan suara melalui undi belah bahagi, mulalah YB muda-muda ni pura-pura buat bising luar dewan. 

Denyut pada setiap inci anggota badan dah jadi seram sejuk. Bukan sebab simptom demam kura biasa, tapi kerana pedih hati melihat orang politik kita sakan berdolak-dalih berpura-pura.

Politik berdalih

Dalam politik, pura-pura dan berdalih adalah biasa. Ia sering kita hidu dalam ucapan politik dan pada bau badan politikus kita. Malah dari cara senyum dan gaya berjalan pun kita boleh kesan seribu satu kepura-puraan.

Walaupun begitu, mengapa kita tetap semudahnya diperbodohkan?

Jawabnya kerana rakyat tidak pernah dibangunkan dengan ilmu apresiasi bersama pengetahuan seni bercitarasa.

Jadi biarpun ada politikus tua bangka membudak-budakkan YB yang lebih muda, kita tetap tak merasa apa-apa. Kita relakan saja politikus tua-tua bangka ini perasan negarawan bermegah kaya bakti dan jasa terhadap kita.

Andai segalanya disusun jadi babak dalam filem, tentu ia akan jadi suatu kisah komedi seram ala Hantu Wangan.

Penuh dengan jerit pekik dan perlumbaan yang diberi mood seram dan tak semena-mena berakhir dengan lawak-lawak jahanam lagi menjahanamkan.

Melodi runut bunyinya pula pasti lagu-lagu metal dangdut berat yang keruh, kusut dan penuh serabut. 

Naratif yang dimiliki seni dan sastera sebetulnya tersemat prinsip ideologi, politik dan falsafah.

Biar bergaya lelucon atau berimej satira, akan ada elemen dan unsur yang sepatutnya secara bersistem dibawa ke tengah masyarakat lalu kemudian secara berstruktur kita wacanakan kita beramai-ramai.

Hal yang ditinggal tanpa pembangunan konkrit oleh Finas inilah yang buat cita rasa filem dan seni rakyat kita jadi selekeh dan selebet. 

Diskusi filem dan seni kita terlalu peroi. Sampai apa sahaja perbincangan tentangnya hanya ada satu unsur – promosi dan publisiti. Sementara kritikan jadi hantu yang ada niat membunuh kutipan (tiket).

Kritikan, diskusi dan wacana yang meraikan interpretasi atas apa jua platform apresiasi sebetulnya mampu berfungsi lebih daripada itu. Ia mampu pergi lebih jauh daripada acara hiburan yang tak berkepentingan.

Gagal

Pengabaian membangunkan aspek-aspek apresiasi filem dan seni yang merupakan bahagian penting dari ekosistem perfileman dan seni inilah yang menjadi punca kegagalan rakyat mentafsir banyak hal dan perkara.

Kegagalan sekian lama Finas merangka, mengurus dan menyusun strategi serta visi pembangunan penonton dalam penontonan akhirnya jadi kerugian buat rakyat dan negara. 

Kerugian itu kini kita tunggang dan bonceng dalam apa jua situasi dan keadaan.

Bukan setakat sejarah seni dan filem kita bakal akan ditulis dimasadepan kelak dengan banyak sekali nota-nota yang ngeri dan memalukan. Akan tetapi lebih utama dari itu, masyarakat gagal dibangunkan. 

Cara masyarakat kita berfikir dan menganalisa akan hal-hal seperti politik, sosial dan ekonomi sekaligus turut terjejas. Rakyat akan lebih gemar dan sukakan tipu daya dan kepalsuan.  

Analisis kita tumpul, sisi pandang kita terhad. Sampai gagal mengenal yang mana elok dan yang mana buruk, mana satu baik dan yang mana satu jahat.

Hingga akhirnya rakyat jadi masyarakat yang tak berupaya membezakan siapa penyeleweng dan siapa negarawan – kita membenarkan politik itu jadi lakonan yang penuh kepura-puraan. 

Jalan keluar

Apresiasi filem harus diletakkan dalam ekosistem perfileman secara lebih meluas. Industri sampingan perfileman seperti kritikan harus diraikan dengan memperbanyakkan aktviti-aktviti wacana dan program-program perbincangan filem serius yang mencelikkan. 

Ia bukan sahaja sekaligus dapat membentuk suatu bentuk masyarakat yang memiliki cita rasa filem baik dan selera seni yang berkelas.

Lebih daripada itu, ia berupaya menjadikan masyarakat lebih celik dengan segala reaksi politik seperti apa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat.

Maka dengan itu penjahat politik dan kepura-puraan politikus dapatlah dikesan. Sekaligus dapat meningkatkan kualiti politik rakyat dengan mengenepikan politikus tua-tua bangka yang dah lama berpura-pura dan membodohkan kita. 

Mudah-mudahan ia juga dapat menghilangkan kecut politikus muda kita di Dewan Rakyat untuk berjuang demi rakyat. – 12 Disember, 2020.
 

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen