Ada apa dengan Grand Coalition?



LIMA puluh tahun yang lalu, sarjana sains politik berbangsa Belanda bernama Arend Lijphart telah mengasaskan teori consociationalism (diterjemahkan sebagai konsosiasionalisme atau politik permuafakatan). Salah satu prinsip utama dalam teori ini ialah apa yang dinamakan sebagai gagasan Grand Coalition atau koalisi besar.

Menurut Lijphart, dalam sebuah negara berbilang kaum, koalisi besar yang menggabungkan parti-parti yang mewakili kaum-kaum yang berbeza perlu diwujudkan. Lijphart juga pernah menamakan Malaysia sebagai salah satu negara yang mengamalkan politik permuafakatan dengan berjaya.

Kerajaan Barisan Nasional dianggap oleh Lijphart sebagai contoh sebuah koalisi besar yang kukuh.

Sejak akhir-akhir ini, Grand Coalition menjadi  satu istilah hebat yang bermain di mulut para pemimpin dan penyokong pembangkang. Grand Coalition yang disebut-sebut itu bukanlah koalisi mengikut takrifan Lijphart tetapi menjurus kepada koalisi besar parti-parti pembangkang dengan pelbagai bentuk tafsiran.

Bagi penyokong idea ini, digambarkan seolah-olah Pakatan Harapan tidak ada pilihan lain selain meluaskan gabungannya untuk merangkumi parti-parti pembangkang seperti WARISAN, PEJUANG dan MUDA.

Bagi yang curiga pula, idea Grand Coalition dianggap sebagai satu helah untuk membawa kembali Mahathir ke pangkuan Pakatan Harapan.

Untuk memahami ada apa dengan Grand Coalition, kita perlu jelas apakah objektif Grand Coalition ini sebenarnya. Terdapat tiga persoalan yang perlu ditanya berkenaan Grand Coalition:

  1. Adakah ianya untuk mencukupkan bilangan ahli-ahli parlimen bagi menumbangkan kerajaan pimpinan Muhyiddin dengan secepat mungkin? 
  2. Adakah ianya untuk membina persefahaman di kalangan parti-parti pembangkang supaya mereka boleh menjadi pembangkang yang berkesan?
  3. Adakah ianya untuk agenda yang lebih jauh iaitu menyatukan parti-parti pembangkang bagi memenangi PRU-15?

Ketiga-tiga perkara yang disebut di atas adalah berbeza dan memerlukan pendekatan dan strategi yang berlainan.

Menumbangkan Muhyiddin

Sekiranya Grand Coalition ini diungkap sebagai strategi untuk mengambil kuasa dalam masa terdekat, ianya adalah sukar tetapi tidaklah mustahil. Menjatuhkan Muhyiddin adalah mudah kerana semua parti pembangkang sepakat tentangnya.

Yang sukar ialah untuk bersepakat tentang siapa yang akan menjadi  Perdana Menteri selepas Muhyiddin.

Halangan utama dalam isu ini ialah keengganan Mahathir untuk menyokong Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan untuk menjadi Perdana Menteri. Tanpa sokongan 16 orang ahli parlimen dari Blok Mahathir, Anwar hanya mempunyai sokongan daripada 92 orang ahli parlimen (91 Pakatan Harapan + 1 Bebas).

Begitulah juga sebaliknya, sekiranya Mahathir atau Shafie Apdal yang dinamakan sebagai Perdana Menteri, 38 orang ahli parlimen PKR tidak akan menyokong. Pemimpin-pemimpin PKR telah menyatakan dengan tegas bahawa mereka sudah serik berkompromi dengan Mahathir dalam soal jawatan Perdana Menteri.

Kalau diukur dari segi logik, Mahathirlah yang sepatutnya akur kepada kehendak majoriti iaitu 91 orang ahli parlimen Pakatan Harapan. Lagipun tuan rumah dalam Grand Coalition ini adalah Pakatan Harapan. Walau bagaimanapun, semua orang  tahu bahawa Mahathir sentiasa mempunyai logik beliau sendiri asalkan matlamatnya tercapai.

Harus diingat bahawa angka total yang dimiliki oleh pembangkang pada masa ini adalah 108 iaitu masih lagi belum cukup. Mereka perlu mendapatkan sokongan daripada beberapa orang ahli parlimen lagi untuk mencapai angka 112.

Hakikatnya, jika Mahathir tetap dengan pendiriannya, usaha ini akan menemui jalan buntu sekali lagi. Pilihan yang tinggal ialah bagi Anwar meneruskan usaha menggamit sokongan daripada ahli-ahli Parlimen Umno yang kecewa dengan Perikatan Nasional.

Bagi kebanyakan orang, usaha Anwar itu bagaikan ‘mission impossible’, tetapi jangan lupa bahawa politik ialah seni serba mungkin. Gerakan tersusun di dalam Umno untuk mengolah persetujuan supaya parti Melayu terbesar itu memutuskan hubungan dengan Bersatu sedang giat berjalan.

Menjadi pembangkang yang berkesan

Sekiranya Grand Coalition ini hanya bertujuan untuk mewujudkan solidariti di kalangan pembangkang, sebenarnya agenda itu tidaklah perlu dinamakan Grand Coalition. Sejak bermulanya sistem berparlimen di negara ini, parti-parti pembangkang yang mempunyai kerusi di parlimen boleh bekerjasama dalam banyak perkara tanpa perlu bergabung.

Untuk menjadi pembangkang yang berkesan, Pakatan Harapan hanya perlu menonjolkan dirinya sebagai ‘Government–in-Waiting’. Susunan kabinet bayangan Pakatan Harapan harus disegerakan supaya rakyat melihat Pakatan Harapan sebagai satu-satunya alternatif kepada Perikatan Nasional. Ia juga mesti menjadi jurucakap rakyat yang paling lantang dalam mengkritik dasar dan tindakan kerajaan.

Dalam masa yang sama, kerjasama dengan parti-parti pembangkang di luar Pakatan Harapan boleh dijalankan atas dasar saling menghormati. Sekiranya ada parti pembangkang lain yang tidak menghormati Pakatan Harapan dan pendiriannya, maka Pakatan Harapan tidak kerugian apa-apa jika mengabaikan mereka.

Menghadapi PRU-15

Sekiranya Grand Coalition yang dimaksudkan adalah untuk mempersiapkan Pakatan Harapan bagi menghadapi PRU-15, maka ianya berbalik kepada soal yang paling sensitif dalam pilihan raya iaitu kerusi.

Adakah semua parti pembangkang mesti bergabung sebagai strategi untuk  memenangi pilihan raya? Tidak semestinya. Seorang lagi sarjana sains politik iaitu William Riker pernah menganjurkan apa yang dinamakan sebagai ‘Minimal Winning Coalition’.

Menurut Riker, parti-parti hanya perlu bergabung sekadar untuk mendapatkan jumlah kerusi yang secukupnya bagi membentuk kerajaan. Maknanya, saiz koalisi itu biarlah tidak terlalu kecil tetapi jangan terlalu besar.

Jika sesuatu koalisi menjadi terlajak besar, maka ia akan mengundang pelbagai masalah. Sebelum pilihan raya, ia akan berdepan dengan masalah agihan kerusi kepada parti yang terlalu banyak. Selepas menang, ia akan menghadapi kesulitan untuk mengagihkan jawatan dan peruntukan dengan adil.

Dalam Barisan Nasional, masalah itu diatasi dengan Umno menduduki tempat sebagai parti dominan yang memutuskan segala-galanya.

Sebelum inipun, bukan semua parti pembangkang diraikan oleh Pakatan Harapan. Menjelang PRU-14, Pakatan Harapan tidak melayani permintaan Parti Sosialis Malaysia untuk diberi laluan bertanding di beberapa kawasan.

Keputusan Pakatan Harapan untuk menerima Bersatu serta Warisan dan menolak Parti Sosialis Malaysia adalah tepat berdasarkan strategi Minimal Winning Coalition. Sekiranya Parti Sosialis Malaysia diberikan kerusi dan menang di kawasan-kawasan tersebut kerajaan Pakatan Harapan ketika itu terpaksa pula tunduk kepada beberapa tuntutannya.

Kemenangan dalam pilihan raya bukanlah bergantung kepada kuantiti parti di dalam sesebuah koalisi tetapi kualiti. Adakah Pejuang dan Muda mempunyai kekuatan sebagaimana Bersatu sebelum PRU-14? Adakah Pejuanng dan Muda boleh didaftarkan sebelum PRU-15? 

Adakah pengaruh Mahathir di kalangan pengundi Melayu sekuat dahulu? Sekiranya jawapan kepada ketiga-tiga soalan di atas adalah tidak, maka tiada keuntungan bagi Pakatan Harapan untuk bersekutu dengan mereka.

Lain pula ceritanya dengan Warisan. Pakatan Harapan sudah sedia menerima realiti bahawa parti kenegerian tetap relevan di Malaysia Timur. Oleh itu, pakatan pilihan raya (electoral pact) dengan WARISAN wajar diteruskan. Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan September yang lalu membuktikan bahawa ia boleh dilakukan.

Tiada koalisi yang kekal

Zaman koalisi kekal dan utuh sebagaimana yang pernah dinikmati oleh Barisan Nasional telah berlalu. Era dua-koalisi yang menyaksikan persaingan sengit antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat pada satu masa dahulu juga telah berakhir.

Kita akan menyaksikan  pertembungan, pertindihan dan penjajaran beberapa koalisi sebelum dan selepas PRU-15. Di sebelah pemerintah, ada kemungkinan bahawa Perikatan Nasional akan berpecah sebelum PRU-15 ataupun bertembung sesama sendiri sewaktu pilihan raya.

Di sebelah pembangkang, Pakatan Harapan perlu menggilap kekuatan dan potensinya dalam lanskap politik yang sudah berubah. Tembok besar yang memisahkan UMNO dan Pakatan Harapan hampir-hampir roboh di Perak pada awal Disember lalu.

Demi mengecap kemanisan kuasa, parti-parti mungkin akan mencari rakan koalisi baharu bagi membentuk kerajaan campuran selepas keputusan pilihan raya diumumkan. Di negara-negara Eropah, perkara sedemikian adalah satu kelaziman.

Coalition of Commitment

Walau apapun yang terjadi, ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan mestilah mempunyai komitmen yang tinggi kepada nilai-nilai perjuangan bersama yang telah dibina dengan airmata, darah dan keringat selama puluhan tahun. Meminjam istilah seorang lagi sarjana iaitu Donald Horowitz, koalisi yang unggul ialah sebuah ‘coalition of commitment’, bukannya ‘coalition of convenience’.

Komitmen bersama itu mestilah berteraskan nilai-nilai keadilan, reformasi, integriti kesederhanaan dan kemajmukan. Runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020 sepatutnya menjadi pengajaran bahawa setiap parti dalam koalisi besar Pakatan Harapan mesti menghayati komitmen ini.– 1 Januari, 2021.


* Dr Madhi Hasan ialah seorang peguam dan merupakan Felo di Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD), Universiti Selangor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen