Adakan sidang khas Parlimen bincang strategi baharu Covid-19, kata Kit Siang


Veteran DAP Lim Kit Siang berkata sidang khas Parlimen perlu diadakan untuk bincang isu Covid-19 ketika negara berdepan gelombang ketiga pandemik itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2020.

PUTRAJAYA sepatutnya mengadakan sidang khas Parlimen bulan depan bagi menangani isu berkaitan Covid-19 di negara ini, yang kini semakin sukar dikawal, kata Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu berkata kerajaan perlu cuba memperbetulkan kesilapan dalam perang terhadap pandemik Covid-19, dan membincangkan isu itu pada mesyuarat Kabinet terakhir untuk tahun ini, hari ini.

Beliau berkata Kabinet juga perlu bersetuju untuk mengadakan sidang Parlimen khas bagi menangani masalah Covid-19.

“Kesilapan besar menyebabkan situasi berterusan seperti sekarang dalam berdepan gelombang ketiga pandemik Covid-19 di Malaysia perlu menjadi agenda dalam sidang Parlimen khas.

“Sejak enam bulan lalu saya menggesa supaya diwujudkan strategi dan pendekatan membabitkan keseluruhan kerajaan dan masyarakat dalam memerangi pandemik itu, dengan jawatankuasa pemilih ditubuhkan di Parlimen, tetapi tidak ada apa pun yang dilakukan,” katanya yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Lim berkata kerajaan gagal mendapat kepercayaan dan keyakinan semua rakyat Malaysia dan untuk berkomunikasi secara berkesan dalam perang terhadap pandemik itu.

“Kita mengatasi China, negara di mana pandemik itu bermula dan mempunyai populasi 40 kali ganda lebih ramai berbanding Malaysia, dalam jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19. Nasib baik jumlah keseluruhan kematian Covid-19 tidak setinggi di China setakat 16 Disember,” katanya.

Beliau berkata lonjakan kes pada masa ini mungkin meletakkan Malaysia antara 30 hingga 40 negara teratas yang merekodkan jumlah tertinggi kes Covid-19.

“Malaysia sekarang antara negara paling teruk di Asia, tewas kepada Thailand, Singapura, Vietnam, Kemboja dan Laos.”

Lim berkata pakar kesihatan digesa tampil dengan strategi berbeza untuk membendung jangkitan bagi mencegah penularan semakin teruk dalam sistem kesihatan awam.

Katanya, kerajaan sepatutnya mengumumkan strategi baharu uuntuk mengawal gelombang ketiga Covid-19.

Setakat semalam, jumlah keseluruhan jangkitan di Malaysia ialah 108,615 dengan 21,443 kes aktif. – 30 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen