Kapasiti katil hospital masih mencukupi, kata KP Kesihatan


Aminah Farid

Pekerja asing yang dikuarantin di hotel dibawa menaiki bas untuk ke hospital di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Disember, 2020.

NEGARA masih mampu merawat kes Covid-19 walaupun kes jangkitan baharu merekodkan lebih 1,000 kes sehari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, setakat ini kapasiti katil hospital adalah 59%.

Jaminan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan berkata pihaknya berdepan masalah untuk membawa pesakit Covid-19 dari kediaman mereka ke pusat kuarantin hari ini.

Beliau berkata salah satu sebabnya, kes individu memerlukan van persendirian yang mengambil lebih banyak masa apabila bilangan meningkat.

Ini berbeza dengan kes kluster tempat kerja dengan para pekerja dibawa dengan bas. 

Peningkatan ujian saringan di kalangan pekerja asing menyebabkan lebih banyak kes dikesan turut menyumbang kepada kelewatan, katanya.

Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan mempertimbangkan untuk membenarkan individu didiagnosis dengan Covid-19 menghabiskan kuarantin di kediaman mereka.

“Prosedur kami dalam mengkuarantin individu positif di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital masih sama. Bagaimanapun kami sedang mempertimbangkan sama ada mereka boleh kuarantin di rumah masing-masing,” katanya.

Terdahulu hari ini, Kementerian Kesihatan menambah jumlah katil sebanyak 3,032 menjadikan jumlah keseluruhan 6,132 katil untuk fasa kedua di pusat kuarantin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Rohaizat Yon menerusi Twitter berkata pembukaan dewan baharu di MAEPS adalah susulan peningkatan kes Covid-19.

“Kapasiti katil mungkin akan ditingkatkan sehingga 10,000 katil mengikut keperluan semasa,” katanya.

Rohaizad berkata PKRC MAEPS 2.0 dibuka semula pada 9 Disember lalu untuk menampung pesakit tahap 1 dan 2 bukan warganegara. – 28 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen