PKPB di Selangor, KL dan Sabah dilanjutkan hingga 14 Januari


Noel Achariam

Kerajaan melanjutkan PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah susulan peningkatan kes Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Disember, 2020.

PERINTAH kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember, dilanjutkan hingga 14 Januari, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan itu berkata ia susulan peningkatan jumlah kes Covid-19 di negeri tersebut.

Bermula 14 Disember hingga 27 Disember, Selangor mencatatkan 29,272 kes positif Covid-19 sementara Kuala Lumpur melaporkan 12,494 kes dalam tempoh yang sama.

“Disebabkan jumlah jangkitan yang tinggi dan munculnya kluster baharu, Kementerian Kesihatan memutuskan untuk melanjutkan PKPB hingga 14 Januari,” kata Ismail pada sidang akhbarnya di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata sehingga 27 Disember, Sabah mencatatkan 36,074 kes positif.

Beliau berkata dalam dua minggu terakhir ia merekodkan 3,243 kes baharu.

Sementara itu, PKPB di Barat Daya dan Timur Laut, Pulau Pinang turut dilanjutkan hingga 14 Januari.

Di Perak, PKPB di kawasan Depoh Imigresen Langkap dan Hilir Perak juga dilanjutkan hingga 14 Januari.

Di Kelantan, PKPB di Madrasah Daril Naim, Padang Halban, Kota Bharu akan bermula pada 29 Disember dan berakhir pada 14 Januari.

Bagi Negeri Sembilan, PKPB di Port Dickson ditamatkan sementara PKPB di Seremban dilanjutkan hingga 14 Januari.

Di Johor, PKPB di Johor Bahru, Batu Pahat, penjara dan kuarters Kluang dilanjutkan hingga 14 Januari. – 28 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen