Pulau Pinang tak akan bayar Kedah untuk air Sungai Muda, kata Ramasamy


Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy berkata tiada sebab mereka perlu membayar atau memberi sumbangan kepada Kedah bagi bekalan air mentah dari Sungai Muda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2020.

PULAU Pinang tidak akan membayar walau sesen pun kepada Kedah bagi bekalan air mentah dari Sungai Muda kerana negeri itu berhak mengambil di sempadannya, kata P Ramasamy.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu berkata tiada sebab mereka perlu membayar atau memberi sumbangan kepada Kedah bagi bekalan air mentah.

“Mengapa Pulau Pinang perlu bayar kerana mengambil air dari sempadannya di Sungai Muda?

“Perjanjian antara negeri jelas menyatakan Pulau Pinang mempunyai hak. 

“Lagi pun, konsep hak Riparian jelas mengesahkan hak air Pulau Pinang untuk mengambil dari bahagiannya di Sungai Muda. Bukan Pulau Pinang yang mengambil air dari Kedah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Ramasamy juga berkata bahgaian tengah sungai menjadi sempadan Kedah dan Pulau Pinang.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor semalam dilaporkan berkata kerajaan negeri berhasrat mengenakan caj 10 sen bagi setiap satu meter padu air mentah itu, namun bersedia berunding dengan Pulau Pinang.

“Kita nak bayaran. Bukan sumbangan. (Kalau) sumbangan, ikut suka bayar berapa duit pun, 4 kupang (40 sen) 5 kupang (50 sen). Sumbangan ini juga kalau nak bagi boleh, tak mau bagi pun boleh,” katanya dipetik Bernama.

Ramasamy berkata terdapat duluan undang-undang yang jelas menyatakan hak negeri atau negara untuk berkongsi sama rata sumber air.

“Jadi, atas alasan apa Sanusi menuntut caj ke atas air mentah dari Pulau Pinang?” – 24 Disember, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen