Pakatan mahu raih undi wanita Felda, Umno beri cabaran sengit


Diyana Ibrahim Ikhwan Zulkaflee

Feldanita ditubuhkan Pakatan Harapan untuk meraih undi wanita Felda yang membentuk hampir separuh daripada sejuta undi peneroka. Tetapi tinjauan The Malaysian Insight di felda Johor dan Selangor mendapati usaha mereka akan berdepan cabaran besar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2017.

AZLINA Harith tinggal di penempatan Felda di Johor mengimbau semula kejadian yang menyakin dirinya yang pembangkang tidak boleh dipercayai walau seburuk mana pentadbiran Barisan Nasional (BN) sekarang.

Katanya, beliau meminta bantuan daripada semua ahli politik di kawasan Parlimen Kulai. Tetapi yang membantunya hanyalah orang Umno.

Pusat Khidmat Parlimen DAP pula, kata Azlina, enggan membantunya.

“DAP langsung tak beri sumbangan, sedangkan ahli Parlimen kita tu (Teo Nie Ching). Tak tahulah kenapa sama ada pilih kroni atau apa.

“Yang masih lagi beri dana biasanya Adun kita (Ali Mazat) dan pimpinan Umno Bahagian Kulai macam (Naib Ketua Umno Bahagian Kulai) Mohd Jafni (Md Shukor) dan (Ketua Umno Bahagian Kulai) Zainal Abidin (Jidin),” katanya.

Azlina mendakwa pengalamannya itu serupa dengan pengalaman ramai kawan sebaya lingkungan 40-an, yang merupakan generasi kedua peneroka Felda Taib Andak.

Sentimen mereka menggambarkan kesukaran yang akan ditempuh Pakatan Harapan (PH) untuk meraih undi wanita yang membentuk hampir separuh daripada sejuta undi peneroka Felda.

Undi Felda adalah kritikal di sekurang-kurangnya 54 kerusi luar bandar Semenanjung Malaysia dan pemimpin PH kini sedang bekerja keras menarik hati peneroka menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bagi memenuhi matlamat itu, baru-baru ini PH melancarkan Feldanita yang merupakan kerjasama antara Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) dan sayap Wanita PH.

Feldanita adalah jawapan kepada Gerakan Persatuan Wanita Felda (GPW), sebuah kumpulan sokongan yang menjadi pihak utama dalam memastikan sokongan wanita Felda kepada BN.

Presiden Anak Mazlan Aliman berkata PH memerlukan lonjakan 10% lagi pengundi wanita di Felda, menjadikannya 25%, membolehkan mereka menang kerusi yang cukup untuk  ke Putrajaya.

Mereka berharap yang Feldanita dan inflasi akan membuatkan wanita Felda berpihak kepada mereka tetapi wawancara dengan wanita Felda di Johor dan Selangor membuktikan perubahan sokongan itu masih sukar untuk berlaku.

“Ambil isu kenaikan harga minyak (petrol), memanglah ia satu bebanan kepada mereka yang berpendapatan rendah namun kita semua menggunakannya dan akhirnya beli juga.  Beza zaman (Perdana Menteri) Najib (Razak) ni, peningkatan harga barangan tak seiring dengan kenaikan gaji.

Tetapi, apabila membandingkan situasi semasa dengan pembangkang, beliau dan rakan-rakannya tidak nampak perbezaan.

“Tapi cuba lihat dekat Kelantan yang PAS pegang dah lama. Kita tak nampak pembangkang ni boleh bangunkan negeri. Negeri-negeri pembangkang lain pun apa benda baharu yang dibuat? Kalau menang dan majukan negeri tak apa, bolehlah kita sokong.”

Undi peneroka Felda sangat penting, ia membentuk antara blok terbesar undi Barisan Nasional dan Pakatan Harapan perlu menembusi blok ini jika mahu impian ke Putrajaya jadi kenyataan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2017.

Umno menapak kukuh

GPW adalah faktor utama mengapa wanita Felda tidak akan mengundi parti lain kecuali BN, kata salah seorang pemimpinnya yang hanya mahu dikenali sebagai Mariam.

Selaku rangkaian sokongan, GPW sangat penting dalam rutin kehidupan harian wanita Felda, kata Mariam dari Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

“Macam saya sendiri memang akan buat banyak aktiviti ada mingguan bulanan, kelas mengaji, bacaan tajwid. Lepas itu kalau kenduri atau orang kenamaan datang jadi GPW ini yang akan mengambil peranan mengaturkan dan membahagikan kerja- kerja kenduri,” katanya.

Menurutnya lagi, GPW juga memberikan bantuan kepada wanita dan keluarga mereka dan ini meredakan kemarahan yang timbul disebabkan inflasi atau hutang mereka.

“Memang GPW akan banyak bagi insentif contohnya hujung tahun ini, akan ada bantuan untuk anak bersekolah sebanyak RM700. Memang mereka suka kalau dapat insentif atau duit contoh masa hari raya.”

Wanita Umno memainkan peranan penting dalam mengekalkan sokongan wanita Felda kepada Umno dan BN menerusi Gerakan Persatuan Wanita Felda (GPW). – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2017.

Sejak beberapa tahun lepas, jawatan GPW semakin banyak dipenuhi ahli Umno, kata Mariam jika dibandingkan ketika beliau dilantik sebagai pemimpin pada 1992.

Ini membantu Umno dan BN menyalurkan mesej mereka kepada wanita dan memomokkan isu agama dan perkauman.

“Sentimen ini biasa akan dimainkan kalau ada wakil rakyat yang datang , penerokawati ini dah terbiasa dengar kalau pembangkang jadi kerajaan Cina akan jadi perdana menteri.

”Jadi penerokawati secara otomatisnya bila mereka tidak terdedah dengan pergaulan maka mereka akan percaya dengan dakwaan tersebut,” katanya.

Menyebarkan kesedaran

Rozita adalah salah seorang wanita Felda yang tidak mempunyai tanggapan negatif kepada pembangkang yang ditemui The Malaysian Insight.

Beliau yang bekerja menjual pisang goreng berkata ini disebabkan beliau pernah bekerja di luar kawasan Felda, di kilang berhampiran Batang Kali.

Dalam wawancara yang dilakukan The Malaysian Insight dengan wanita Felda di Selangor dan Johor, kebanyakkan mereka menyokong BN walaupun mengadu tentang kesukaran hidup mereka.

“Pembangkang? Haish tak naklah, nak cakap pun tak nak (mengenai pembangkang),” kata Zariah Zakaria, 86, dari Felda Taib Andak.

“BN ni berikan kemudahan untuk warga Felda ni. Dari jalan tak ada sekarang semua dah ada jalan (tar) dan kampung ni pun dah membangun. Pembangkang ni kerjanya membangkang sahaja, apa yang dia bagi?”

Rosnah Ramlan juga dari Felda Taib Andak juga tidak akan mengundi parti lain kecuali BN.

“Memang dalam hati mak cik dah tetap untuk Umno dan BN dan takkan bertukar,” katanya, 

Seorang lagi wanita di Felda Taib Andak, Johor yang hanya mahu dikenali sebagai Siti pula berkata, beliau dan rakan-rakannya menyokong BN kerana itu adalah cara untuk berterima kasih kepada Perdana Menteri Kedua Abdul Razak Hussein yang menubuhkan Felda pada 1950-an.

Sementara itu, Feldanita, kumpulan yang dibentuk PH mengakui usaha meraih undi wanita Felda masih lagi memberikan cabaran besar.

“Maksudnya dekat situ kita tak menafikan sekiranya masih lagi terdapat gologan generasi kedua wanita Felda yang masih kuat menyokong dan sebab itulah kita diwujudkan untuk mendekati golongan ini,” kata Ketua Feldanita Anis Afida Mohd Azli kepada The Malaysian Insight.

“Benda ini bukan perkara yang mengejutkan dan Feldanita sendiri masih belum bergerak secara rasmi lagi ketika ini. Kita ambil ini sebagai satu cabaran untuk kita dalam memastikan mereka mendapat maklumat sebenar tentang apa berlaku dalam negara dan Felda sendiri.” – 24 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Walaupun di beberapa kawasan BN kalah, bantuan tetap diberikan oleh UMNO dikawasan tersebut bagi memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara dan terjaga. Inilah BN yg sentiasa akan memastikan kebajikan rakyatnya dijaga walaupun ada rakyat yag tidak menyokong mereka. Bukan macam pihak pakatan, mereka hanya menjaga kebajikan penyokong-pengokong tegar mereka sahaja.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Liyana Jamal · Ulasan