Arab Saudi tangguh semua penerbangan antarabangsa


Arab Saudi menyekat semua penerbangan antarabangsa susulan amaran Britain mengenai varian baharu Covid-19.– Gambar EPA, 21 Disember, 2020.

ARAB Saudi menangguhkan semua penerbangan antarabangsa dan menggantung semua kemasukan ke negara itu menerusi sempadan darat dan pelabuhan, susulan penularan varian baharu koronavirus yang muncul di Britain.

Negara itu menggantung semua penerbangan antarabangsa—kecuali untuk kes tertentu—selama seminggu, yang mana ia mungkin akan dilanjutkan seminggu lagi,” kata Saudi Press Agency (SPA).

“Kemasukan ke negara itu menerusi darat dan pelabuhan digantung selama seminggu, yang mungkin akan dilanjutkan seminggu lagi,” tambah SPA memetik kenyataan kementerian dalam negeri.

Penggantungan itu bagaimanapun tidak tertakluk kepada pesawat antarabangsa yang kini berada dalam negara berkenaan yang mana akan dibenarkan meninggalkan negara itu, kata SPA.

Perkembangan itu dibuat susulan langkah beberapa negara yang menyekat perjalanan dari Britain pada Ahad selepas kerajaan UK memberi amaran wujud varian baharu virus yang mampu merebak “di luar kawalan”.

SPA berkata penumpang yang tiba ke Arab Saudi dari Eropah—atau mana-mana negara yang virus berkenaan dikesan—bermula 8 Disember perlu pengasingan kendiri selama dua minggu dan menjalani ujian.

Kuwait turut mengumumkan sekatan ke atas penumpang penerbangan dari Britain susulan penularan virus berkenaan.

Arab Saudi setakat ini melaporkan lebih 361,000 kes koronavirus termasuk 6,000 kematian, merupakan yang tertinggi di negara Teluk Arab. Namun negara itu turut merekodkan kadar kes pulih yang tinggi. – AFP, 21 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen