Guru dan kita, emosi dan rasional


Meor Yusof Aziddin

BARU-baru ini kita dikejutkan dengan kes guru tampar murid sehingga menjadi kes mahkamah dan kes tersebut menjadi perhatian umum dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-ratanya memberi sokongan dan kemenangan kepada guru yang terbabit, Cikgu Azizan yang berumur 44 tahun itu.

Rata-rata yang paling emosi dalam menangani hal ini adalah kita, berbanding guru mahupun ibu bapa pelajar terbabit. Yang menjadi hakimnya juga kita, bukan undang-undang itu sendiri.

Isunya mudah, Azizan sebagai seorang guru disiplin, menampar anak muridnya yang berusia 11 tahun kerana salah laku disiplin yang serius sehinggalah ibu bapa pelajar terbabit membawa anak mereka ke hospital untuk membuat pemeriksaan kesan tamparan tersebut dan atas nasihat pihak hospital, mereka membuat laporan polis mengikut SOP (Standard Operation Procedure). Itu sahaja.

Majoriti komen pengguna media sosial adalah maki-makian terhadap ibu bapa pelajar itu sehingga menjadikan mereka mengalami trauma untuk menghadapi hari-hari berikutnya. Dalam kalangan pengguna media sosial yang jenis memaki ini biasanya hanyalah budak-budak yang belum cukup umur atau orang dewasa yang apabila menulis, lebih emosi daripada rasional. Mereka ini biasanya jenis yang suka bercakap tanpa fakta.

Saya sebagai seorang bapa, kita faham kerjaya seorang guru dan kita juga faham perasaan ibu bapa kepada pelajar tersebut. Mereka ini bukannya orang kaya, bukan juga ahli politik yang boleh tahan maki-makian masyarakat. Mereka ini hanya orang Melayu biasa yang tipikal dengan sifat-sifat kemelayuan.

Adakah mereka ini dapat menanggung segala caci maki masyarakat walau sejahat manapun anak mereka ? Dan anak mereka itu hanya berumur 11 tahun, apa akan jadi pada masa depannya? Kenyataannya mereka sudahpun dihukum walau keputusan belum dikeluarkan.

Apa yang pasti kesan kejadian tersebut akan memberikan kesan yang sangat mendalam terhadap mereka sekeluarga. Siapa yang harus dipersalahkan jika ada antara mereka mengalami masalah depresi sehingga di hantar ke wad psikiatrik lantaran gagal mengawal tahap murung yang hebat? Yang nyatanya masyarakat akan lepas tangan, sepantas angin lalu sahaja dan hanya menunggu untuk berita kontroversi yang seterusnya.

Seorang guru sekolah pernah mengeluarkan perkataan ‘babi’ terhadap anak perempuan saya yang waktu itu baru berumur 12 tahun. Saya percaya guru tersebut mengeluarkan perkataan tersebut dalam keadaan yang emosional. Kejadian itu berlaku pada tahun 2006 di kampung saya, Bruas, Perak.

Kesan perkataan ‘babi’ itu, menyebabkan trauma kepada anak saya sehingga dia enggan ke sekolah sehingga saya terpaksa berjumpa dengan guru besar sekolah tersebut untuk menyelesaikan hal tersebut dengan cara yang rasional, sebab kalau saya emosi dalam menangani hal itu, saya akan berjumpa dan mungkin akan bertumbuk dengan guru tersebut.

Kita sebagai ibu bapa, pastinya mahukan yang terbaik untuk masa depan anak kita. Kita hantar mereka ke sekolah untuk mereka menjadi seorang manusia yang berguna, pada diri juga masyarakat. Mana ada ibu bapa yang suka bila anak mereka jadi liar dan menjadi penagih dadah?

Memang, kita juga pernah dirotan di sekolah sebab kenakalan kita, dan ibu bapa kita awal-awal lagi dah bagi ‘green light’ pada para cikgu untuk buat yang terbaik walau dengan rotan untuk mengajar kita.

Rata-rata cikgu disiplin sekolah saya merotan dalam keadaan yang rasional, bukan emosional, itu yang saya pasti. Dan ‘green light’ dari orang tua kita biasanya, jangan sampai patah kaki, sudahlah. Kalau sampai patah riuk, mungkin cikgu terbabit akan di dakwa di mahkamah seperti yang terjadi pada kes Cikgu Azizan itu.

Dalam apa jua hal dan keadaan, rasional itu adalah yang terbaik. Tapi emosional itu yang membentuk sejarah dan peristiwa semasa yang kita tempuh. Orang yang berperang perlu duduk dalam keadaan yang amarah dan emosional. Yang rasional itu mereka yang menjadi tukang rencana pada peperangan. 

Jadi, emosi dan rasional itu saling memerlukan, cuma kita perlu professional dalam menangani apa jua hal dan keadaan. Guru dan ibu bapa saling perlu memerlukan dan yang terbaik, memahami itu lebih baik dari kita suka menghukum. – 24 Disember, 2017.

* Meor Yusof Aziddin ialah seorang pemuzik, penyanyi folk yang telah menghasilkan 10 album antara 2001 dan 2013, juga penulis buku bertema kehidupan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen