Pandemik perlu dikawal agar ekonomi pulih, kata peniaga


Bernard Saw

Pertumbuhan ekonomi pada suku keempat tahun ini akan lebih rendah berbanding suku ketiga, dan pemulihan perlahan dijangka berterusan hingga tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2020.

KELONGGARAN perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) menyaksikan perjalanan rentas negeri semakin aktif namun wajah ekonomi yang suram dijangka berlanjutan hingga suku pertama tahun depan.

Pemerhati pasaran dan pemimpin kumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak melihat tanda pemulihan ekonomi kerana masih wujud ketidakpastian mengenai pandemik Covid-19 sehingga penduduk negara ini mendapat vaksin.

Bagaimanapun, jika kerajaan dapat mengawal wabak tersebut, sebarang kesan positif daripada kelonggaran kawalan pergerakan akan masih di tahap minimum kerana pengguna, pada umumnya, masih berhati-hati berbelanja.

Pengerusi Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Koong Ling Long berkata pertumbuhan ekonomi pada suku keempat tahun ini akan lebih rendah berbanding suku ketiga, dan pemulihan secara perlahan dijangka berterusan hingga tahun depan.

“Tidak akan ada banyak peningkatan di pasaran pada tahun depan. Pertumbuhan pada suku keempat akan lebih buruk daripada suku ketiga disebabkan oleh PKPB. Semua orang mengalami kelesuan mental.

“Pelonggaran kawalan pergerakan pasti memberi kesan positif, tetapi tidak akan sebaik suku ketiga,” kata Koong, merujuk tempoh PKPP yang hanya dilaksanakan dalam tempoh yang pendek akibat PKPB dilaksanakan semula di kebanyakan negeri.

Menunggu prestasi ekonomi yang perlahan tahun depan, kerajaan harus mengawal pandemik Covid-19 mulai sekarang, tambahnya lagi.

“Sekiranya keadaan tetap tidak stabil, seperti penularan besar lain seperti di Klang, maka ekonomi akan terjejas,” kata Koong.

Menurut Koong, orang ramai juga perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa atau mereka juga akan bertanggungjawab terhadap keadaan yang tidak menentu.

“Turun naik ini tidak akan membantu ekonomi pulih. Ia memberangsangkan beberapa bulan yang lalu, namun Covid-19 masih tidak stabil dan terdapat ketidakpastian yang lain. Banyak juga negara di Eropah yang kembali melaksanakan sekatan pergerakan,” jelasnya

Kelonggaran di bawah PKPB ketika ini termasuk kebenaran melakukan perjalanan rentas negeri, makan bersama sehingga empat orang di satu meja dan perjalanan dengan kenderaan mengikut kapasiti penumpang yang maksimum.

Sektor pelancongan dan budaya di kawasan PKPB juga diizinkan untuk dibuka semula, merangkumi pertemuan, perjalanan insentif, persidangan dan pameran, serta taman tema - namun hanya dengan kapasiti 50% bagi membolehkan penjarakan fizikal dilaksanakan.

Koong berkata kelonggaran ini akan memberi kelegaan kepada PKS dan membantu mengkaji sektor pelancongan, peruncitan, dan makanan dan minuman.

Namun lonjakan kes yang berterusan, terutama di Lembah Klang, tidak memberangsangkan bagi pengguna.

Walaupun kadar penggunaan dari Julai hingga September meningkat selepas sekatan lebih ketat dikenakan dari Mei hingga Jun, pengenalan semula PKPB pada Oktober dan peningkatan jangkitan menyebabkan pengguna lebih berhati-hati.

“Pengguna mungkin keluar tetapi mental mereka sudah menetapkan agar lebih berhati-hati, yang seterusnya mempengaruhi penggunaan.

“Contohnya, sebagai anggaran pengguna biasa mungkin membelanjakan kurang daripada RM100 berbanding sebelum ini ketika keluar kerana keadaan semasa,” kata Koong.

Fakta kebanyakan jangkitan berlaku di kelompok yang berkaitan kilang dan melibatkan pekerja migran masih menjadi perhatian di kalangan pengguna.

Banyak kluster berkaitan dengan kilang dan tapak pembinaan juga memberi kesan negatif kepada syarikat, yang mengakibatkan rantaian bekalan dan gangguan aliran tunai, tambah Koong.

Presiden Persatuan UKM Malaysia, Michael Kang berkata kerajaan harus memantau dan mengetatkan penguatkuasaan ke atas kawasan dan kumpulan berisiko tinggi. – 20 Disember, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen