Skim Rondaan Sukarela akan dijenamakan semula, tarik ramai belia


SRS akan dijenamakan semula supaya menarik golongan muda menyertai aktiviti itu yang mampu membantu pasukan polis mengekang kegiatan jenayah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2020.

PENGLIBATAN golongan belia dalam Skim Rondaan Sukarela (SRS) akan dipertingkatkan dalam usaha mencegah jenayah khususnya di kawasan kampung dan Felda, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator Ti Lian Ker.

Justeru, beliau berkata SRS akan dijenamakan semula supaya lebih segar dan menarik minat golongan muda menyertai aktiviti berkenaan yang dilihat mampu membantu pasukan polis mengekang kegiatan jenayah.

“Kita nak belia tahu bahawa SRS ini suatu yang diiktiraf oleh kerajaan dan juga pihak polis…pasukan ini lengkap dengan uniform serta kad kenal diri dan kami berharap lebih ramai belia akan menyertai aktiviti ini sebagai tanggungjawab sosial mereka menjaga kawasan setempat.

“Polis tidak melakukan rondaan pada setiap masa di kawasan yang sama dan kita perlukan ahli SRS terutama golongan muda menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan itu, kita nak jenamakan SRS supaya ia tidak lagi dipandang semata-mata sebagai pasukan peronda golongan pesara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan SRS di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub hari ini yang turut dihadiri Pengarah Perpaduan Negeri Pahang Mansor Mohd Hashim dan Ketua Polis Daerah Raub Supt Kama Azural Mohamed. – Bernama, 18 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen