Gagasan besar hanya untuk kepentingan Bersatu, kata pemimpin Umno


Diyana Ibrahim

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Ahmad Shabery Cheek berkata jika benar gagasan besar itu demi kestabilan politik, lebih baik Bersatu kembali kepada Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2020.

BERSATU lebih wajar dibubarkan manakala pemimpin dan ahlinya kembali ke pangkuan Umno, daripada mengutarakan idea penubuhan sebuah “gagasan besar” Perikatan Nasional (PN) bersama Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata beberapa pemimpin Umno.

Bersatu, kata mereka, hanya parti serpihan Umno, sementara sesetengah wakil rakyatnya sekarang asalnya dari Umno tetapi menyeberang parti selepas BN kalah pilihan raya umum pada 2018.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Ahmad Shabery Cheek berkata jika benar gagasan besar itu demi kestabilan politik, lebih baik Bersatu kembali kepada Umno.

“Pada pandangan saya mesti ada gerakan ke arah menyatukan Bersatu dan Umno sebagai satu parti saja.

“Sebaiknya Bersatu kembali kepada Umno, sebagaimana Semangat 46 dulu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Shabery merujuk pada parti yang ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada 1988 selepas krisis dalaman Umno, yang kemudian dibubarkan pada 1996 apabila pemimpin dan ahlinya, termasuk beliau sendiri, kembali ke pangkuan Umno.

Beliau mengulas cadangan Setiausaha Agung Bersatu dan PN Hamzah Zainudin agar kerjasama parti yang membentuk kerajaan sejak Mac lalu dikekalkan untuk pilihan raya umum akan datang.

Hamzah, bekas ahli Parlimen Umno, keluar parti pada hujung Disember 2018 dan kemudian menyertai Bersatu semasa parti itu masih bersama Pakatan Harapan (PH), yang menang Pilihan Raya Umum ke-14.

Setiausaha Agung Bersatu dan PN Hamzah Zainuddin mencadangkan kerjasama parti yang membentuk kerajaan sejak Mac lalu dikekalkan untuk pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2020.

Cadangannya bagaimanapun dikritik sebagai helah Bersatu, yang dianggap parti kecil dan lemah, mahu menumpang kekuatan Umno demi memastikan masa depan politiknya sendiri selepas ini.

Walaupun bersama dalam kerajaan yang memerintah, hubungan antara Bersatu dan Umno tegang selepas Umno merasa disisih dalam kerajaan Muhyiddin Yassin, yang juga presiden Bersatu.

Menurut Shabery, isu antara Umno dan Bersatu sepatutnya diselesaikan secara konsensus dengan satu formula yang memperakui kedudukan Umno sebagai parti lebih besar dengan jumlah kerusi lebih banyak.

Umno mempunyai 38 kerusi sementara Bersatu 31 dengan 15 daripadanya dimenangi asalnya oleh wakil rakyat Umno sebelum mereka melompat parti.

“Konsensus mesti berasaskan formula tertentu. Misalnya, parti yang banyak kerusi sepatutnya diberikan kedudukan itu,” katanya.

Bersatu bagaimanapun tidak mungkin mahu bersetuju dengan formula itu kerana kerusinya kurang. Pemimpinnya juga menegaskan kerjasama politik tidak harus dibangunkan atas asas jumlah kerusi yang dimiliki oleh parti tetapi atas dasar tolak ansur dan muafakat sesama mereka.

“Orang yang dilihat kecil, jangan ada hati yang besar”

Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed pula berkata akar umbi melihat Bersatu sebuah parti yang lemah tetapi terdesak mahu bergantung pada Umno demi survivalnya sendiri.

“Orang yang dilihat kecil jangan ada hati yang besar,” katanya, merujuk pada Bersatu.

“Akar umbi menolak alasannya kerana Bersatu ini sudah terbukti tidak ada sokongan akar umbi. Bersatu bergantung pada Umno.

“Dari tiga negeri yang ia pegang…. menang besar konon ada sokongan kuat semasa PH, hari ini tiga- tiga negeri itu mereka sudah hilang sokongan,” tambahnya, merujuk pada Johor, Kedah dan Perak.

Ketiga-tiga negeri itu sebelum ini menteri besarnya daripada Bersatu tetapi diambil alih teraju kepimpinan oleh Umno selepas peralihan kuasa di Putrajaya sejak Mac lalu.

“Macam mana pun mereka sentiasa nak tagih sokongan… mula dengan PH dan selepas itu sekarang dengan PN,” kata Nur Jazlan.

Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata akar umbi melihat Bersatu sebuah parti yang lemah tetapi terdesak mahu bergantung pada Umno demi survivalnya sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2020.

Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaakub juga bersependapat, cadangan Bersatu itu hanya untuk kepentingan parti itu sendiri.

Walaupun cadangan Hamzah itu secara luarannya meyakinkan, katanya, iaitu untuk menguatkan gabungan parti namun hakikatnya tidak begitu.

“Umno akan menolak… akar umbi menolak sebab kita tak nampak sebarang relevannya  mengadakan salah satu gabungan besar ini.

“Bunyinya cantik, hendak menyatukan parti tapi tetap tidak menyelesaikan masalah.

“Sekarang ini PAS dengan Bersatu sudah ada dalam PN, Umno tidak ada.

“Kita  tahu tujuan Hamzah sebenarnya nak pancing Umno, BN… senang ceritanya untuk bersama dalam gabungan kerana ia turut melibatkan GPS,” katanya.

Beliau turut mendakwa cadangan Hamzah itu untuk memudahkan Bersatu berunding dalam pengagihan kerusi kerana tiga parti Melayu dalam kerajaan – Umno, Bersatu, dan PAS – mempunyai kerjasama politik yang tidak selari antara satu sama lain.

PAS membentuk kerjasama dengan Umno atas nama Muafakat Nasional demi mengukuhkan kepentingan Melayu-Islam, yang dimeterai piagamnya pada September 2019.

Selepas percaturan politik yang membentuk kerajaan baharu pada Februari lalu, PAS bekerjasama pula dengan Bersatu untuk mengasaskan PN, yang turut disertai dua parti dari Sabah. PN diluluskan pendaftarannya pada Ogos lalu.

Umno dan BN bagaimanapun memutuskan tidak menyertai PN.

Jelas Mustafa, Bersatu mengemukakan gagasan besar ini untuk mempertahankan kerusi Parlimen yang asalnya dimenangi oleh wakil rakyat Umno.

“Umno tidak akan kompromi dengan isu kerusi asal ini. Kita mahu dalam PRU15 kita nak bertanding semua kerusi tersebut,” katanya.

Cadangan Hamzah sebelum ini ditolak oleh pimpinan kanan Umno, antaranya timbalan presiden Mohamad Hasan dan naib presiden Khaled Nordin.

Ia juga ditolak oleh GPS dengan alasan tiada keperluan untuk parti itu menjadi anggota rasmi mana-mana “gabungan besar”.

PAS yang membentuk PN bersama Bersatu bagaimanapun menyambut baik idea yang diketengahkan oleh Hamzah.

Presidennya Abdul Hadi Awang berkata cadangan itu bagaimanapun memerlukan masa untuk dilaksanakan.

“Kita menganggap cadangan berkenaan amat positif yang sehingga kini, kita dapati majoriti pimpinan parti berkaitan bersetuju.

“Cuma untuk merealisasikan langkah berkenaan memerlukan masa,” katanya pada satu dialog bersama media pada hujung minggu lalu. – 16 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen