Bersatu -- hentikan nostalgia, segerakan pilihan raya


PAKATAN Besar atau ‘grand coalition’ yang melibatkan PN, BN dan GPS seperti yang dicadangkan oleh Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung PPBM mestilah jelas tujuan dan matlamat akhirnya.

Dalam amalan demokrasi, kekuatan sebenar kerajaan itu mestilah datang dari akar umbi dan rakyat yang harus diperolehi melalui Pilihan Raya Umum.

Di negara dengan amalan demokrasi termaju, penubuhan kerjasama politik hanya berlaku jika parti terbesar tidak mempunyai cukup kerusi untuk mentadbir negara dengan berkesan dan selalunya dimeterai sesudah pilihan raya.

PN, BN dan GPS mesti membina kekuatan dengan mendapat undi dan mandat sebenar rakyat.

Malaysia tidak memerlukan penubuhan ‘coalition over coalition’ kerana umum mengetahui ia adalah strategi survival untuk mendapat kekuatan dari sokongan parti terbesar dan bukannya melalui sokongan jitu pelbagai lapisan masyarakat.

Sebelum ini kita telah menubuhkan kerajaan PN atas kerjasama Ahli-Ahli Parlimen walaupun itu bukan cerminan pilihan rakyat.

Tindakan tersebut gagal mewujudkan kestabilan politik yang diharapkan. Apakah jaminan yang ‘coalition over coalition’ ini akan membuahkan kestabilan politik yang Malaysia perlukan.

Malaysia memerlukan kerajaan yang kuat dengan mendapat mandat sebenar tanpa berlengah.

Sesuatu yang tidak menjurus kepada objektif tersebut adalah diragui dan tidak diperlukan.

PPBM mesti berhenti bernostalgia dengan cerita lapuk pengorbanan mereka menyelamatkan negara.

Semua retorik tersebut telah jelas hanya jalan mudah untuk ‘menyelamatkan’ parti masing-masing agar kekal berkuasa.

Segeralah kita semua ke medan sebenar untuk menentukan kerajaan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. – 11 Disember, 2020.

* Mohamed Khaled Nordin ialah Naib Presiden Umno


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen