Dua pemimpin GPS tolak idea "gabungan besar" Bersatu


Desmond Davidson

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing berkata tidak ada keperluan untuk GPS menjadi anggota rasmi mana-mana "gabungan besar". – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2020.

DUA pemimpin kanan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menolak jemputan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin semalam agar GPS menjadi sebahagian daripada gabungan besar bersama Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.

Hamzah mencadangkan gabungan itu dibentuk menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 bagi memperkasakan kekuatan kerajaan Perikatan Nasional ketika ini.

Namun Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing berkata tidak ada keperluan untuk GPS menjadi anggota rasmi mana-mana “gabungan besar”, seperti yang disebut Hamzah.

Empat parti dalam GPS ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan PRS.

Pendirian Masing itu selaras dengan pendirian GPS bahawa ia tidak akan kembali semula kepada politik persekutuan ala BN sehingga Sarawak bebas daripada keputusan dan dasar yang dikuasai oleh parti-parti semenanjung.

Masing berkata GPS tidak akan menentang cadangan Hamzah itu “jika mereka (Bersatu dan Umno) merasakan bahawa piagam formal adalah baik untuk kestabilan politik Malaysia”.

Ini bermaksud bahawa harus ada “persefahaman yang disepakati bersama” antara GPS dan parti-parti lain, bahawa mereka semua mesti saling menyokong dalam setiap pilihan raya, termasuk pilihan raya negeri.

“Pendek kata, PN dan calon tidak boleh bertanding dalam (pilihan raya Sarawak akan datang) dan sebaliknya, parti Sarawak boleh bertanding di mana-mana kerusi di Malaya (semenanjung Malaysia).”

Naib presiden PBB, Abdul Karim Hamzah juga turut bersetuju bahawa GPS tidak perlu menjadi anggota rasmi bagi sebarang pakatan yang dicadangkan Bersatu.

Karim, yang juga menteri pelancongan, kesenian, kebudayaan, belia dan sukan negeri berkata status quo ketika ini di mana GPS menyokong kerajaan PN sudah mencukupi.

“Biarkan status quo kekal,” katanya.

Hamzah, yang juga menteri dalam negeri, dalam satu kenyataan semalam berkata bahawa cadangannya adalah demi memastikan kesinambungan konsensus politik semasa.

Parti utama PN, Bersatu, yang diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika ini hanya mempunyai 31 kerusi di Parlimen dan tidak dapat membentuk kerajaan jika bersendirian.

Umno juga turut menolak idea Hamzah untuk gabungan besar politik tersebut.

Naib presiden Umno Khaled Nordin berkata bahawa itu adalah strategi Bersatu untuk meningkatkan menyedut kekuatan parti lain. – 12 Disember, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen