Kelonggaran untuk ahli Parlimen dikuarantin bukan baru, kata Azhar


Mohd Farhan Darwis Hailey Chung Wee Kye Ragananthini Vethasalam

Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mempertahankan kelonggaran yang diberi kepada ahli Parlimen yang sedang menjalani kuarantin untuk hadir mengundi RUU Perbekalan 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2020.

YANG Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mempertahankan kelonggaran yang diberi kepada ahli Parlimen yang sedang menjalani kuarantin untuk hadir mengundi Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021.

Katanya, kelonggaran itu bukan perkara baharu malah turut diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada individu lain dalam kes tertentu.

“Saya difahamkan pengecualian ini bukan baru, sebaliknya pengecualian sama diberikan kepada (individu di bawah pengawasan) PUS untuk hadiri upacara pengebumian dan melawat pesakit bagi kes-kes kecemasan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan kebenaran yang diberikan kepada tiga wakil rakyat menghadiri sidang Parlimen dengan mengenakan pakaian pelindung diri (PPE), walaupun mereka dalam tempoh kuarantin.

Jumaat lalu Dewan Rakyat diberitahu bahawa tiga ahli Parlimen – Menteri Kesihatan Dr Adham Baba (Tenggara-BN), Menteri Sumber Manusia M Saravanan (Tapah-BN) dan P Prabakaran (Batu-PH) – akan dikuarantin selepas mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

Ketiga-tiga ahli Parlimen itu diarahkan untuk menjalani kuarantin sendiri dan diberi perintah pengawasan dan pemantauan di rumah selama 14 hari.

Azhar bagaimanapun berkata, dengan tempoh kuarantin dipendekkan jadi 10 hari, Adham boleh menyertai sidang Dewan hari ini selepas tempoh kuarantin tamat semalam, manakala Prabakaran akan tamat tempoh kuarantin esok.

Saravanan pula akan tamat tempoh kuarantin pada Khamis, tambahnya.

Semalam, ketiga-tiga mereka hadir di Dewan Rakyat untuk mengundi peruntukan bagi kementerian yang dibahaskan bagi peringkat jawatankuasa selepas mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Azhar sebelum itu memaklumkan kepada Dewan Rakyat kebenaran tersebut, selepas Dr Kelvin Yii (Kuching-PH) bertanya kenapa Dewan Rakyat sekali lagi meminda prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di Parlimen.

Beliau menafikan kebenaran itu adalah keputusannya sebaliknya berkata ia diputuskan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kita tidak ubah SOP. Kita hanya ikut SOP yang ditetapkan oleh ketua pengarah kesihatan.

“Mereka memohon kepada ketua pengarah kesihatan dan mengikut arahannya,” tambah Azhar.

Pada Ahad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan mengesahkan Adham, Saravanan, dan Prabakaran sedang menjalani kuarantin di rumah.

Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin dalam pekeliling kepada anggota Dewan Rakyat pada Sabtu memberitahu mereka yang sedang menjalani perintah pengawasan dan pemantauan di rumah boleh menulis kepada ketua pengarah kesihatan memohon untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.

“Jika permohonan mereka dibenarkan, maka mereka perlu mematuhi SOP yang telah dtetapkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia,” katanya, dalam salinan surat yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Ini bukan kali pertama SOP menangani Covid-19 dilihat dipinda untuk menyesuaikan keadaan di Dewan Rakyat.

Awal bulan ini, syarat kuarantin 14 hari yang dikenakan ke atas wakil rakyat dari Sabah dipendekkan selepas timbalan menteri Jeffrey Kitingan muncul di Dewan Rakyat pada hari ke-12 beliau menjalani kuarantin.

Azhar ketika itu berkata Kitingan diberikan pelepasan oleh pejabat kesihatan.

Pengundian Belanjawan 2021 pada peringkat bacaan ketiga hari ini jadi perhatian ketika kerajaan Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan tipis 112 anggota Dewan Rakyat sementara pembangkang 108, termasuk ahli Parlimen bebas.

Daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, dua kosong susulan kematian wakil Batu Sapi dan Gerik, masing-masing penyokong pembangkang dan kerajaan. – 15 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen