Kes denggi di Negeri Sembilan meningkat 30.8%


JUMLAH kumulatif kes denggi di Negeri Sembilan merekodkan peningkatan sebanyak 30.8 peratus dalam tempoh Januari hingga 5 Dis lepas kepada 2,816 kes berbanding 2,513 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S.Veerapan berkata Seremban merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 2,408 diikuti Tampin (96), Port Dickson (88), Jempol (78), Rembau (67), Jelebu (53) dan Kuala Pilah (26).

“Pada minggu ke-49 iaitu dari 29 Nov hingga 5 Dis, sebanyak 26 kes dilaporkan di seluruh negeri ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata terdapat satu kes maut dilaporkan setakat ini menjadikan kumulatif kematian denggi sebanyak sembilan kes atau 0.3 peratus berbanding 10 kes (0.5 peratus) bagi tempoh sama tahun lepas.

Katanya jumlah lokaliti yang masih aktif ialah 10 lokasi iaitu sembilan di Seremban dan satu di Tampin.

“Masyarakat digalakkan untuk membersihkan kawasan premis masing-masing 10 minit setiap minggu dengan menghapuskan tempat atau bekas yang berpotensi sebagai tempat pembiakan nyamuk Aedes sekali gus dapat mengekang penularan demam denggi,” katanya. – Bernama, 12 Disember, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen