Hospital bersedia tangani denggi, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Hospital kerajaan memiliki persediaan dan kemudahan mencukupi untuk merawat wabak denggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2020.

WALAUPUN kerajaan kini memfokuskan kepada pandemik Covid-19, Kementerian Kesihatan tetap bersedia untuk menangani kes denggi, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu memberitahu The Malaysian Insight terdapat penurunan jumlah kes denggi tahun ini berbanding data daripada kes sebelum ini.

Statistik daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan menunjukkan terdapat 78,303 kes dilaporkan antara 29 Disember 2019 dan 3 Oktober, 2020.

Ini merupakan penurunan sebanyak 23.8% kes yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Dari Disember 2019 hingga Oktober 2020, Selangor melaporkan jumlah kes tertinggi dengan 39,359 manakala Johor adalah seterusnya dengan 9,485. Hanya enam kes denggi dilaporkan di Labuan yang merupakan paling rendah.

Angka kematian akibat denggi kekal pada 127 dalam tempoh yang masih dipantau, berbanding 149 pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Walaupun ketika pandemik Covid-19, aktiviti kesihatan awam berhubung denggi masih diteruskan dan kita lebih terkawal tahun ini berbanding tahun lalu,” kata Dr Noor Hisham.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah kementerian tetap bersedia untuk menanggani kes denggi walaupun di tengah pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight,  9 Oktober, 2020.

Katanya kementerian bersedia dan mempunyai peruntukan untuk sumber yang diperlukan bagi rawatan denggi.

Malaysia menyaksikan turun naiknya jumlah kes denggi selama bertahun-tahun, yang mana ada kalanya terdapat penurunan jumlah kes sementara ada juga masa di mana terdapat peningkatan kes.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Dr Kuljit Singh memberitahu The Malaysian Insight denggi bukanlah sesuatu perkara yang luar biasa kerana ia sudah berlaku sejak sekian lama.

“Denggi merupakan isu yang berterusan, hospital swasta dan awam sudah biasa dengan denggi,” katanya.

 “Rawatan denggi tidak pernah berubah dan persediaan bukanlah satu isu.”

Negara kini berdepan pandemik Covid-19 yang mana setakat ini kes jangkitan direkodkan pada 14,368 dan meragut 146 nyawa.

Beberapa kawasan turut diwartakan sebagai zon merah beriutan jumlah kes yang tinggi, dan dikenakan sekatan pergerakan oleh pihak berkuasa yang berterusan menangani pandemik. – 9 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen