Perjanjian komersial minyak dan gas 'jual hak' Sarawak, kata pembangkang 


Desmond Davidson

Presiden Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Lina Soo menggambarkan CSA sebagai "ciuman Judas". – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2020.

KERAJAAN Sarawak dituduh menyerahkan hak minyak dan gas di perairan negeri itu kepada Petronas melalui Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) yang ditandatangani awal minggu ini.

Presiden Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Lina Soo menggambarkan CSA sebagai “ciuman Judas” sementara Voon Lee Shan daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) berkata tidak seharusnya ada alasan untuk menandatangan perjanjian penyelesaian komersial “sedangkan minyak dan sumber gas di luar pesisir Sarawak adalah milik negeri ini ”.

Voon berkata dengan termeterainya CSA, ia menunjukkan “kerajaan GPS mengesahkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74) dan Akta Laut Wilayah 2012 (TSA) yang haram.

PDA74 dan TSA adalah dua akta yang diluluskan Parlimen yang disifatkan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg sebagai undang-undang “haram” kerana melanggar syarat-syarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Voon berkata, jika ketua menteri berpegang teguh pada apa yang dikatakan beliau, maka, “kenapa ada penyelesaian jika kerajaan GPS benar-benar mahu melindungi sumber minyak dan gas Sarawak?”

“Bukankah ketua menteri hanya bermain kata-kata bagi mengesahkan PDA74 dan TSA apabila beliau berkata akta tersebut tidak relevan.”

Voon juga meramal “penyerahan” hak negeri atas simpanan minyak dan gas di luar pesisir negeri bakal menyaksikan Sarawak kehilangan pendapatan berbilion ringgit kerana beliau mendakwa terdapat sekitar 200 sumber minyak dan gas yang berpotensi untuk diterokai antara tiga dan 12 batu nautika pantai Sarawak.

Soo berkata apa yang dilihat sebagai “tindakan patriotik memperjuangkan hak-hak Sarawak” sebenarnya “merupakan tindakan yang memudaratkan rakyat Sarawak”.

Soo juga berkata butiran mengenai perjanjian tersebut amat sedikit melainkan apa yang diungkap Timbalan Ketua Menteri Awang Tengah Ali Hassan dalam ucapan pada majlis menandatangani CSA di Kuala Lumpur bahawa ia telah memenuhi “harapan rakyat Sarawak”.

Katanya, harapan rakyat Sarawak adalah melihat kerajaan negeri: -

* Memiliki tahap penglibatan lebih besar dalam pengurusan sumber minyak dan gas di kawasan darat dan luar pesisir Sarawak.

* Dapat menikmati pendapatan yang lebih adil daripada sumber-sumber asli tersebut.

* Diberikan peluang pelaburan lebih besar bagi negeri baik di segenap sektor.

* Memiliki jaminan bekalan gas asli yang di negeri ini dengan harga yang berpatutan bagi meningkatkan agenda pembangunan industrinya, dan

* Supaya Petronas meneruskan dan memperluas program pengembangan vendornya ketika ini serta memberi lebih banyak peluang kepada syarikat-syarikat Sarawak untuk turut serta dalam sektor minyak dan gas seperti kontrak-kontrak kerja pembekalan dan perkhidmatan. – 12 Disember, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen