PAS sentiasa junjung kedaulatan institusi beraja, kata setiausaha agung


PAS sentiasa menghormati dan menjunjung kedaulatan institusi beraja dalam sebarang urusan dan ia perlu dituruti dengan penuh adab, kata Takiyuddin Hassan.

Setiausaha Agung PAS itu berkata parti itu membatalkan hasrat untuk mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam kerana dikhuatiri akan berlaku kekhilafan.

“Adapun dalam hal kehadiran ke Istana Perak, disebabkan PAS tidak mahu terkhilaf dalam membuat keputusan terutama jika ianya bersabit dengan titah Sultan Perak, maka PAS mengarahkan semua Adun PAS untuk hadir ke istana setelah terima titah Tuanku Sultan Perak.

“PAS akan berusaha dan berikhtiar bersama rakan parti Perikatan Nasional (PN) untuk menyelesaikan kemelut politik Perak secara berhemat dan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dilapor media berkata pihaknya membatalkan majlis menghadap Sultan Perak yang dijadual petang semalam kerana parti Islam itu belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai pembentukan kerajaan baharu negeri.

Menurutnya, PAS akan mengadap Sultan Perak dalam masa yang terdekat selepas pihak parti di pusat membuat keputusan mengenai pendirian parti soal tersebut.

Ahli Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini memberitahu pemberita, pemimpin politik yang dipanggil ke Istana Kinta untuk mengadap Sultan Nazrin masih belum dapat meyakinkan baginda bahawa mereka mempunyai sokongan majoriti.

“Sultan Perak belum dapat diyakinkan mana-mana pihak, kita akan tunggu sampai mereka sudah bersedia dengan meyakinkan Duli Yang Maha Mulia dan baginda berpuas hati sudah ada majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan istana semalam.

Sementara itu, Bersatu belum dititah untuk menghadap Sultan Perak, kata Ahmad Faizal Azumu.

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Perak itu juga berkata pihaknya juga belum memohon untuk menghadap Sultan Nazrin  berhubung isu pelantikan menteri besar yang baharu.

Jawatan menteri besar itu kosong selepas Ahmad Faizal meletak jawatan apabila 48 wakil rakyat mengundi tidak menyokongnya sebagai menteri besar apabila usul undi percaya dikemukakan terhadapnya di Dewan Undangan Negeri Perak pada Jumaat. 

Peletakan jawatan Ahmad Faizal, yang juga timbalan presiden Bersatu, sekali lagi mencampakkan Perak dalam kemelut politik untuk membentuk sebuah kerajaan negeri ketika semua parti politik tidak mempunyai majoriti mutlak 30 kerusi di dewan undangan negeri.

PN di atas kertas mempunyai 8 kerusi, dengan Bersatu (5) dan PAS (3). Gabungan ini disokong oleh dua Adun bekas DAP, yang seorang sudah menyertai Gerakan dan seorang lagi bebas.

Pakatan Harapan (PH) sementara itu mempunyai 24 kerusi, iaitu DAP (16), Amanah (5), dan PKR (3). – 9 Disember, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen