Sultan belum diyakinkan mana-mana pihak ada majoriti mudah, kata Annuar Zaini


Ahli Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini ketika bercakap kepada pemberita di luar Istana Kinta di Ipoh, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight, 8 Disember, 2020.

SULTAN Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah masih belum diyakinkan mana-mana sudah ada majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri, lapor media yang memetik Ahli Dewan Negara Perak.

Mohd Annuar Zaini memberitahu pemberita, pemimpin politik yang dipanggil ke istana untuk mengadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah masih belum dapat meyakinkan baginda bahawa mereka mempunyai sokongan majoriti.

“Sultan Perak belum dapat diyakinkan mana-mana pihak, kita akan tunggu sampai mereka sudah bersedia dengan meyakinkan Duli Yang Maha Mulia dan baginda berpuas hati sudah ada majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Istana Kinta hari ini. 

Sultan Nazrin hari ini menerima mengadap wakil dari Umno dan Pakatan Harapan Perak.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah mempersembahkan nama calon menteri besar Perak ketika menghadap Sultan Nazrin Shah pagi tadi.

Zahid bagaimanapun enggan mendedahkan nama calon yang dipersembah kepada Sultan Nazrin.

PAS membatalkan jadual majlis mengadap Sultan Perak Sultan Nazri Muizzuddin Shah di Istana Kinta petang ini kerana parti Islam itu belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai pembentukan kerajaan baharu negeri.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dilaporkan oleh Bernama berkata majlis mengadap Sultan Perak pada petang ini dibatalkan “atas arahan pucuk pimpinan.”

Menurutnya, PAS akan mengadap Sultan Perak dalam masa yang terdekat selepas pihak parti di pusat membuat keputusan mengenai pendirian parti dalam soal pembentukan kerajaan baharu negeri.

Sementara itu, Bersatu belum dititah untuk menghadap Sultan Perak, kata Ahmad Faizal Azumu.

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Perak itu juga berkata pihaknya juga belum memohon untuk menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung isu pelantikan menteri besar yang baharu.

Jawatan menteri besar itu kosong selepas Ahmad Faizal meletak jawatan apabila 48 wakil rakyat mengundi tidak menyokongnya sebagai menteri besar apabila usul undi percaya dikemukakan terhadapnya di Dewan Undangan Negeri Perak pada Jumaat. 

Peletakan jawatan Ahmad Faizal, yang juga timbalan presiden Bersatu, sekali lagi mencampakkan Perak dalam kemelut politik untuk membentuk sebuah kerajaan negeri ketika semua parti politik tidak mempunyai majoriti mutlak 30 kerusi di dewan undangan negeri.

PN di atas kertas mempunyai 8 kerusi, dengan Bersatu 5 dan PAS 3. Gabungan ini disokong oleh dua Adun bekas DAP, yang seorang sudah menyertai Gerakan dan seorang lagi bebas.

Pakatan Harapan (PH) sementara itu mempunyai 24 kerusi, iaitu DAP 16, Amanah 5, dan PKR 3. – 8 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen