PKS sukar laksana peraturan penginapan baharu pekerja, kata majikan


Angie Tan

Gelombang ketiga jangkitan Covid-19 di Malaysia, yang bermula pada September, mendedahkan sekali lagi keadaan hidup pekerja asing yang buruk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2020.

SYARIKAT kecil mengalami kesukaran melaksana syarat baharu bagi penginapan pekerja, terutama dalam keadaan ekonomi masa sekarang, kata kumpulan industri.

Gelombang ketiga jangkitan Covid-19 di Malaysia, yang bermula pada September, mendedahkan sekali lagi keadaan hidup pekerja asing yang teruk. 

Sebilangan besar kes di kalangan komuniti ini adalah dalam sektor pembinaan dan pembuatan, dengan sebilangan besarnya melibatkan pekerja asing.

Pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) kini menjadi perhatian, dengan Top Glove Corp Bhd disiasat oleh Jabatan Tenaga Kerja kerana kemungkinan gagal mematuhi peraturan selepas kemudahannya didapati penyumbang terbesar kluster Covid-19 pada masa kini.

Syarikat pembuatan sarung tangan gergasi itu berkata ia akan menyelesaikan proses memperbaiki kemudahan penginapan pekerja pada akhir tahun ini.

Keperluan Akta 446 seharusnya bukan perkara baharu bagi majikan, kerana rang undang-undang itu dibawa ke Parlimen tahun lalu, sebelum wabak melanda. 

Ia diluluskan oleh kedua-dua Dewan Parlimen pada Julai 2019 dan diwartakan pada September tahun lalu. Namun, ia hanya dikuatkuasakan pada 1 September tahun ini.

Pemeriksaan dengan pelbagai kumpulan industri mendapati sektor lain yang bergantung kepada pekerja asing masih belum membuat persiapan diperlukan, dan kini bergelut untuk mematuhinya kerana kekangan aliran tunai susulan kesan pandemik Covid-19 terhadap perniagaan.

Selain pembinaan dan pembuatan, sektor lain termasuk pertanian dan pembuatan perabot.

Presiden Majlis Perabot Malaysia (MFC) Khoo Yeow Chong berkata syarikat besar mampu menyelesaikan masalah tersebut dengan segera tetapi perniagaan lebih kecil memerlukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri.

“PKS sekarang mengurangkan perbelanjaan selagi boleh. Kerajaan perlu memberi mereka tempoh penyesuaian antara tiga hingga lima tahun.

“Saya tidak menentang peraturan baharu, tetapi perlukan lebih masa untuk penyesuaian diri,” kata Khoo.

Beliau berkata majikan kini menghadapi masalah aliran tunai dan bil, sementara beberapa PKS juga akan berdepan masalah untuk memohon pinjaman bank.

Khoo berkata ada juga syarikat meletakkan pekerja mereka di kawasan perkarangan kilang sejak bertahun lalu dan memerlukan masa untuk mencari tempat tinggal baharu. – 4 Disember, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen