TOP Glove Corp Bhd berusaha untuk mendapatkan lebih banyak tempat tinggal untuk pekerjanya dan proses dijangka selesai akhir bulan ini.
Syarikat itu berkata demikian sebagai maklum balas terhadap laporan berita berkenaan tindakan undang-undang yang akan dikenakan ke atas mereka kerana gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
“Top Glove ingin menjelaskan bahawa usaha mencari lebih banyak tempat tinggal dan memperbaiki tempat tinggal pekerja sedia ada sedang dilakukan memandangkan jumlah pekerja kami yang terlalu ramai.
“Kami berharap dapat menyelesaikan usaha membaiki tempat tinggal pekerja sekitar 31 Disember ini. Ini sejajar dengan pendekatan kerajaan terhadap majikan di pelbagai sektor sehingga akhir tahun ini (2020), sehingga mereka dapat mematuhi Akta 446,” katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat itu juga membelanjakan kira-kira RM20 juta untuk membeli 100 unit pangsapuri untuk pekerja mereka sejak dua bulan lalu.
“Ini tambahan pelaburan sebelum ini apabila syarikat membeli 100 rumah dua tingkat dan asrama dengan kemudahan lengkap termasuk kantin di rumah, mesin juruwang automatik, kedai gunting rambut dan minimart bernilai keseluruhan RM50 juta,” tambah syarikat itu.
Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Asri Ab Rahman berkata sebanyak 21 kertas siasatan terhadap syarikat Top Glove di lima negeri telah dibuka dan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara bagi semua kesalahan di bawah Akta 446.
Kertas siasatan dibuka susulan syarikat itu didapati gagal mematuhi SOP selepas tercetusnya kluster Teratai di salah sebuah kilangnya di Meru, Klang pada 7 November lalu.
Asri berkata Top Glove boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan.
Akta 446 dikuatkuasakan pada 1 September untuk menyiasat ketidakpatuhan terbabit, meliputi pelbagai subsektor industri.
Asrama pekerja Top Glove di Klang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) bagi membolehkan saringan Covid-19 dilakukan terhadap semua pekerjanya.
Perintah PKPD yang tamat semalam dilanjutkan sehingga 14 Disember. – 1 Disember, 2020.
Komen