Top Glove bakal didakwa


Noel Achariam

Syarikat sarung tangan getah Top Glove Corp Bhd didakwa gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446). – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2020.

KEMENTERIAN Sumber Manusia akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Top Glove Corp Bhd kerana gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Asri Ab Rahman berkata sebanyak 19 kertas siasatan terhadap syarikat Top Glove di lima negeri telah dibuka.

“Jabatan Buruh akan mengemukakan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara bagi semua kesalahan di bawah Akta 446,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini. 

Kertas siasatan dibuka susulan syarikat itu didapati gagal mematuhi SOP selepas tercetusnya kluster Teratai di salah sebuah kilangnya di Meru, Klang pada 7 November lalu.

Menteri Kanan Ismail Sabri semalam berkata perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja syarikat itu dilanjutkan sehingga 14 Disember.

“Pada awalnya, PKPD di asrama adalah dari 17 hingga 30 November. Setakat ini, 5,805 orang sudah diperiksa dan 3,406 didapati positif.”

“Angka masih tinggi dan ada kes baharu daripada ujian saringan kedua.

“Oleh itu, sidang khas bersetuju melanjutkan PKPD sehingga 14 Disember,” kata Ismail Sabri.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia Asri Ab Rahman.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 Disember, 2020.

Pada sidang media hari ini, Asri berkata pemeriksaan dijalankan di kilang-kilang Top Glove di Kedah, Kelantan, Perak, Negri Sembilan dan Johor.

“Kesalahan utama mereka ialah gagal memohon sijil Perakuan Penginapan dari Jabatan Tenaga Kerja, dan disiasat di bawah Seksyen 24D Akta 446.

“Kesalahan termasuklah keadaan penginapan dan asrama yang padat, tidak selesa dan pengudaraan yang sesuai,” katanya.

Menurut Asri lagi, bangunan asrama pekerja syarikat itu juga tidak mematuhi perturan.

Top Glove katanya boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan.

Akta 446 dikuatkuasakan pada 1 September untuk menyiasat ketidakpatuhan terbabit, meliputi pelbagai subsektor industri.

Akta tersebut dipinda dan diperluaskan kepada semua sektor pekerjaan berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Kerajaan bagaimanapun, memberi penangguhan tiga bulan sehingga 31 Ogos bagi memberikan ruang kepada majikan untuk membuat persediaan sewajarnya. – 1 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen