Gagal lapor tawaran rasuah, 5 kakitangan Kementerian Kewangan didenda


LIMA kakitangan Kementerian Kewangan didenda antara RM1,500 dan RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Kesemua penjawat awam itu adalah lima individu pertama yang dipertuduhkan atas kesalahan tersebut di negara ini.

Hakim Manira Mohd Noor mengenakan denda RM1,500 terhadap dua penolong akauntan, Azad Fadhmi Abdul Rahman, 34, dan Madiyana Mamat, 39, serta pembantu tadbir kewangan Nurul Ashikin Zulkaflee, 33, manakala dua lagi tertuduh, penolong pegawai tadbir Mohd Fairus Hussin, 38, dan penolong akauntan Siti Nurkhairunnisa Adnan, 32, masing-masing didenda RM2,000.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya mereka gagal membayar denda itu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Manira menasihati kesemua tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang walaupun kesalahan itu membabitkan jumlah wang yang sedikit kerana perbuatan tersebut boleh menghancurkan masa depan mereka.

Mengikut pertuduhan, kesemua penjawat awam itu masing-masing didakwa telah ditawarkan wang suapan RM200 hingga RM600 bagi mempercepatkan proses permohonan baharu dan taraf bumiputera kepada lima buah syarikat melalui sistem e-Perolehan, yang mana mereka telah melanggar peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) untuk menggalakkan integriti dan pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Unit Pendaftaran Syarikat, Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan, Putrajaya, antara Mei 2018 dan Jun 2020 mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan mereka dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan R. Francine Cheryl memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran terhadap kesemua tertuduh dengan mengambil kira faktor bahawa mereka adalah individu pertama yang dituduh di mahkamah membabitkan peruntukan itu.

“SPRM tidak boleh bergerak sendirian tanpa bantuan masyarakat untuk melaporkan kes rasuah. Sepatutnya, apabila ditawarkan wang rasuah, mereka melaporkannya tetapi kesemua gagal berbuat demikian,” kata Wan Shaharudin.

Bagaimanapun, peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan dan Muhamad Aizat Fakri yang mewakili kesemua tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum yang tidak melebihi emolumen diterima mereka setiap bulan tanpa hukuman penjara kerana dikhuatiri akan menyebabkan kesemua tertuduh kehilangan pekerjaan.

“Kesemua anak guam adalah penanggung utama keluarga dan mereka juga berjanji akan melaporkan penawaran rasuah kepada pihak berkuasa selepas ini,” kata Muhamad Aizat. – Bernama, 2 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen