Timbalan menteri nafi tunjuk isyarat lucah


Chan Kok Leong Zaim Ibrahim Aminah Farid

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Mongin menafikan beliau menunjukkan isyarat lucah dan mendakwa pihak pembangan tersilap pandang. – Gambar Facebook, 1 Disember, 2020.

TIMBALAN Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Mongin menafikan beliau menunjukkan isyarat lucah kepada pembangkang di Dewan Rakyat hari ini.

“Pengerusi, saya ingin mengesahkan ia tidak benar tetapi saya bersedia meminta maaf jika benar ia berlaku.

“Saya percaya, mereka mungkin tersilap pandang,” kata Puncak Borneo selepas Speaker Azhar Azizan Harun meminta timbalan menteri menjelaskan tindakannya.
Satu video kejadian itu telah dimuat naik di Twitter.

Willie didakwa menunjukkan jari tengahnya kepada pembangkang selepas mereka mulai mengejeknya dengan panggilan “pengkhianat” setelah meminta undi belah bahagi bagi peruntukan belanjawan kementeriannya untuk 2021 hari ini.

Willie adalah antara 10 ahli Parlimen yang berpaling tadah daripada PKR kepada Bersatu, menyebabkan Pakatan Harapan (PH) kehilangan majoriti di Parlimen pada Februari.

Bagaimanapun, ketika kekecohan di kalangan ahli Parlimen pembangkang agar Azhar memeriksa semula rakaman CCTV, speaker memutuskan menangguhkan prosiding tanpa mengambil tindakan selanjutnya.

“Tetapi Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad (Parit Sulong-BN) juga melihatnya,” kata P Kasthuriraani (Batu Kawan-PH).

“Beliau bahkan menyuruh Willie bertenang beberapa kali,” kata Kasthuriraani.

Meskipun demikian, Azhar memutuskan sudah masanya untuk menangguhkan sidang dan tidak mempedulikannya.

Ini bukan kali pertama Willie berdepan masalah di Parlimen.

Pada Ogos 2018, Willie, yang ketika itu bersama PH, menuduh Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan-BN) mengunjungi kasino, mendorong ahli Parlimen itu mencabarnya untuk “berlawan”.

Bung, yang kini timbalan ketua menteri Sabah juga pernah berteriak “Fxxx you!” kepada Willie.

Sementara itu, Perikatan Nasional memperoleh 108 undi berbanding 95 bagi belanjawan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi semasa undi belah bahagi hari ini.

Menurut Azhar, terdapat 17 ahli Parlimen tidak hadir dan tidak mengundi.

Sebelum itu, Dewan Rakyat juga meluluskan belanjawan untuk dua kementerian lain, Luar Negeri dan Perpaduan Nasional dengan undi suara.

Belanjawan bagi lima daripada 27 kementerian diluluskan sejak dua hari lalu. Bacaan Ketiga terakhir dan undian Belanjawan 2021 dijadualkan pada 15 Disember. – 1 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen