Peruntukan 3 kementerian lagi lulus peringkat jawatankuasa


Zaim Ibrahim Chan Kok Leong Aminah Farid

Peruntukan Belanjawan 2021 bagi tiga kementerian diluluskan hari ini dengan dua kementerian lulus secara undian suara manakala sebuah kementerian lulus secara undi belah bahagian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2020.

PERUNTUKAN Belanjawan 2021 bagi tiga kementerian diluluskan hari ini dengan dua kementerian lulus secara undian suara manakala sebuah kementerian lulus secara undi belah bahagian.

Blok pembangkang membiarkan peruntukan bagi Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara diundi secara suara tetapi meminta undian belah bahagian untuk Kementerian Perusahaan, Perladangan, dan Komoditi.

Permohonan untuk undian belah bahagian dibuat oleh Ahli Parlimen Seputeh Terasa Kok dari Pakatan Harapan selepas Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan, dan Komiditi Willie Mongin selesai menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa.

Seramai 108 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, 95 tidak bersetuju manakala 17 ahli tidak hadir.

Empat ahli parlimen kerajaan tidak hadir untuk mengundi iaitu Najib Razak (Pekan-BN), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang-BN), Richard Riot (Serian-GPS), dan Jeffrey Kitingan (Keningau-Perikatan Nasional). 

Di blok pembangkang pula, Mahathir Mohamad (Langkawi), Mukhriz Mohamad (Jerlun), Awang Husaini Sahari (PH-Putatan) dan Christina Liew (PH- Tawau).

The Malaysian Insight sedang menyemak ahli-ahli parlimen lain yang tidak hadir.

Mengikut Anggaran Perbelanjaan Belanjawan 2021, sebanyak RM777.9 juta akan dibelanjakan Kementerian Luar Negara, RM 423.3 juta  Kementerian Perpaduan  manakala Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komiditi sebanyak RM729.4 juta.

Peruntukan untuk Kementerian Perusahaan diluluskan selepas berbahas hampir dua jam. Antara yang berbahas ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang meminta kementerian mencari langkah terbaik menambah pendapatan golongan pekebun-pekebun kecil tanaman getah.

“Kita lihat produk getah daripada susu getah ini, yang kaya raya bukannya yang menanam getah tapi yang duduk di Kuala Lumpur atau di industri.

“Kenapa tidak kerajaan mulai sekarang, bantu mereka jadi usahawan mengeluarkan produk-produk getah, mereka tidak boleh selama-lamanya menjadi pekebun atau penoreh sahaja,” jelas beliau.

Perbalahan antara blok kerajaan dan blok pembangkang turut berlaku apabila Willie Mongin didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada pihak pembangkang.

Beliau bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

Semalam, dua peruntukan diluluskan iaitu Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan.

Perbahasan peringkat jawatankuasa akan diadakan untuk 27 kementerian sehingga 15 Disember sebelum Dewan Rakyat memutuskan untuk meluluskan atau menolak Belanjawan 2021 pada bacaan kali ketiga.

Esok, jawatankuasa ini akan meneruskan perbahasan bagi tiga kementerian iaitu pertanian dan industri makanan, pembangunan luar bandar, dan tenaga dan sumber asli. – 1 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen