10 pengundi Gombak saman Azmin, lapor media


Sepuluh pengundi mahu mahkamah mengisytiharkan Mohamed Azmin Ali secara tort telah menipu mereka, selepas semasa kempen PRU14 berikrar untuk menumbangkan BN dan pemimpin yang korup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2020.

SEPULUH pengundi di Gombak menyaman Mohamed Azmin Ali atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari sebagai ahli Parlimen yang mereka pilih dalam pilihan raya umum lalu, selepas terlibat dalam percaturan politik menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada hujung Februari lepas.

Mereka meminta mahkamah mengisytiharkan, sebagai wakil rakyat yang dipilih, Azmin mempunyai tanggungjawab fidusiari terhadap pengundinya serta memegang amanah bagi pihak mereka, lapor Free Malaysia Today.

Saman dikemukakan melalui Tetuan Yohendra Nadaraja di Mahkamah Tinggi minggu lalu, kata laporan itu.

Dalam saman itu, mereka juga mahu mahkamah mengisytiharkan Azmin melanggar sumpah jawatan selaku ahli Parlimen, mengikut Perkara 59(1) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Jadual Keenam.

Mereka juga meminta mahkamah mengisytiharkan Azmin secara tort telah menipu mereka, setelah beliau semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berikrar untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan pemimpin yang korup.

Mereka mendakwa Azmin terlibat dalam gerakan menjatuhkan kerajaan PH dan kemudian menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menggantikannya, yang turut disertai oleh wakil rakyat BN yang sebelum ini beliau tuduh rasuah.

Azmin tidak pernah menafikan penglibatannya dalam gerakan politik pada hujung Februari tetapi baru-baru ini mendakwa kerajaan PN ditubuhkan atas kehendak Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri bagaimanapun menafikan dakwaan Azmin.

Dalam satu kenyataan semalam, Dr Mahathir berkata tuduhan Azmin palsu.

Azmin menyertai kerajaan baharu PN yang dibentuk oleh Bersatu yang keluar daripada PH bersama BN dan PAS, serta disokong oleh parti-parti dari Sarawak dan Sabah.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang mengetuai kerajaan baharu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac, dan selepas itu melantik Azmin sebagai menteri kanan ekonomi dalam Jemaah Menteri.

Sepuluh pengundi itu memohon mahkamah memberi mereka ganti rugi dan perintah lain yang dirasakan wajar. – 1 Disember, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen