Dr Mahathir nafi rancang tubuh Perikatan


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendirian tidak akan bekerjasama dengan Perikatan yang dianggotai kleptokrat dari Umno.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2020.

DR Mahathir Mohamad menafikan dakwaan Mohamed Azmin Ali bahawa beliau merancang penubuhan Perikatan Nasional (PN).

Bekas perdana menteri itu berkata beliau berulang kali menyatakan pendirian tidak akan bekerjasama dengan PN yang dianggotai kleptokrat dari Umno.

“Saya telah diberitahu mengenai tuduhan Azmin bahawa saya yang merancang penubuhan Perikatan Nasional (PN). Jika saya merancangnya mengapa perlu saya tolak apabila ia menjadi kenyataan dan jika saya terima sudah pasti saya kekal sebagai perdana menteri (PM) seperti yang diakui sendiri oleh Azmin.

“Ini kerana baginya, yang paling penting ialah menyekat Anwar dari menjadi PM. Tetapi jika PH terus memerintah, sudah pasti Anwar akan berpeluang menjadi perdana menteri.

“Pada masa yang sama, Azmin juga bercita-cita untuk menjadi PM. Kerana itu dia bergabung dengan Muhyiddin dan amat jelas hari ini, Azmin diletak oleh Muhyiddin sebagai de facto timbalan perdana menteri,” kata Dr Mahathir dalam satu kenyataan hari ini. 

Dr Mahathir berkata kedudukan Azmin dalam PKR turut terancam kerana Anwar dan penyokongnya dalam parti cuba menjatuhkannya sejak pemilihan parti. 

“Anwar secara terbuka menyokong Rafizi yang menentang Azmin untuk jawatan timbalan presiden dan apabila usaha tersebut gagal, muncul pula video yang mengaitkan Azmin dengan perlakuan seks sumbang,” katanya merujuk kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim dan bekas timbalan presiden Rafizi Ramli. 

Dr Mahathir berkata jelas bahawa Azmin merupakan individu di sebalik Langkah Sheraton kerana bukan mudah untuk meyakinkan sembilan ahi Parlimen PKR untuk meninggalkan parti.

Azmin yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri memberitahu The Star, dalam usaha untuk mendapatkan sokongan ahli Parlimen dari semua parti, Dr Mahathir merancang untuk menubuhkan Perikatan Nasional.

Azmin berkata idea Dr Mahathir adalah untuk menjadi perdana menteri yang disokong oleh semua ahli politik tanpa mengira fahaman parti.

Dr Mahathir mengulangi kenyataan bahawa niatnya adalah untuk kekal bersama Pakatan Harapan walaupun Muhyiddin Yassin bertindak meninggalkan PH secara mengejut. 

Beliau berkata Muhyiddin dan Hamzah Zainuddin cuba meyakinnya untuk meninggalkan PH kerana Anwar dan PH cuba untuk menjatuhkan ahli Parlimen Langkawi itu sebagai perdana menteri. 

“Muhyiddin dan Hamzah Zainuddin pula, mereka cuba yakinkan saya bahawa Anwar dan DAP sedang merancang untuk menjatuhkan saya dan kerana itu perlu saya bergabung dengan parti-parti Melayu yang lain untuk membalas perancangan itu.

“Ketika ini sedang dirancang, Umno atau lebih tepat lagi Najib, menghasut kumpulan-kumpulan Melayu supaya membenci PH yang dikatakan dikuasai oleh DAP.

“Pendirian saya ialah saya menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat dan secara langsung, menolak Umno secara en-bloc dan kekal bersama PH pada ketika itu,” katanya. – 30 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen