KERANA mahu sokongan ahli politik dari semua parti, Dr Mahathir Mohamad merancang untuk menubuhkan Perikatan Nasional, kata Mohamed Azmin Ali pada wawancara dengan The Star.
Menteri kanan itu berkata idea Dr Mahathir adalah untuk menjadi perdana menteri yang disokong oleh semua ahli politik tanpa mengira fahaman parti.
“PN bukan kerajaan pintu belakang kerana terdapat kekosongan jawatan (perdana menteri). Saya tidak mencadangkan pada masa itu. Jika kejadian (Mahathir letak jawatan) tidak berlaku- di mana kami ketuk pintu untuk masuk ke dalam dan keluarkan dia. Itu bukan rancangannya,” kata Azmin.
Azmin berkata 131 ahli Parlimen menandatangani akuan bersumpah untuk menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri, yang dipersembahkan ke istana sebelum pemimpin berusia 95 tahun tu meletak jawatan.
“Kita cuba sedaya upaya untuk pastikan Dr Mahathir akan terus berkhidmat sebagai perdana menteri,” kata Azmin kepada portal berita itu dan menambah beliau dan Dr Mahathir mengadakan pertemuan dengan enam pemimpin parti politik termasuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Muhyiddin Yassin, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, ketua Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari di rumahnya pada 23 Februari.
Menurut Azmin, rancangan itu musnah sepenuhnya apabila Dr Mahathir meletakkan jawatan secara mengejut pada 24 Februari.
Menteri itu memberitahu The Star bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertindak pantas bagi mengelakkan orang lain bergegas ke istana untuk mengisi kekosongan.
“Pilihan yang ada untuk saya dan Muhyiddin adalah untuk tinggalkan PH,” kata Azmin yang juga merupakan bekas timbalan presiden PKR.
“Tentu saja, kami muncul sebagai kerajaan baru, bukan melalui pilihan raya tetapi melalui krisis politik, tetapi krisis itu terjadi kerana orang ini mengundurkan diri,” kata Azmin, sambil menambah bahawa Dr Mahathir akan tetap menjadi perdana menteri jika beliau tidak meletakkan jawatan. – 29 November, 2020.
Komen