2 tahun berlalu, keluarga Adib terus menunggu


Zaim Ibrahim

Mohd Kassim Abdul Hamid menziarahi pusara anaknya Muhammad Adib di Kg Tebengau, Kuala Kedah, Kedah pada 19 Disember tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2020.

KELUARGA Muhammad Adib Mohd Kassim masih menunggu tindakan lanjut pihak berkuasa untuk mengheret mereka yang bertanggungjawab atas kematian anggota bomba itu dalam rusuhan dekat sebuah kuil di Subang Jaya, Selangor, yang minggu ini genap dua tahun.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, mereka kecewa dan tidak puas hati kerana sehingga kini, polis masih belum menghubungi atau memberitahu sebarang perkembangan siasatan.

Bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, bagaimanapun berkata, pihak keluarga masih belum berputus asa dan sentiasa berdoa agar suatu hari nanti kematian anaknya akan terbela.

“Peguam keluarga saya pun sudah minta polis segerakan siasatan, tapi sampai sekarang tak nampak apa-apa lagi.

“Polis pun tidak berhubung dengan saya untuk memberitahu sebarang perkembangan, memang rasa kecewalah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ditanya mengenai hasrat keluarga mahu menyaman pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kassim berkata tindakan itu sedang diurus oleh peguam mereka.

“Saya tetap dengan hasrat untuk saman polis, kami minta peguam yang uruskan. Ini untuk keadilan keluarga,” kata beliau.

The Malaysian Insight sudah menghubungi peguam Ahmad Taufiq Baharom yang mengendalikan urusan tersebut tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

Adib, 24, anggota unit bantuan perkhidmatan kecemasan Balai Bomba Subang Jaya cedera parah dalam insiden malam kedua rusuhan dekat Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada awal pagi 28 November 2018.

Beliau yang kritikal sempat sedar semula sepanjang tempoh tiga minggu dirawat di hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara, pada 17 Disember 2018, lima hari sebelum dijadual melangsungkan perkahwinan.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan bercadang menuduh semula 12 orang suspek di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh dan menyerang jentera bomba.

Kerajaan juga bercadang mengadakan semula inkues untuk siasatan lanjut kematian Adib, jika dipersetujui oleh peguam negara.

“Memandangkan sehingga kini kertas siasatan dan cadangan inkues semula masih berada di Jabatan Peguam Negara, saya tiada hasrat untuk mengulas lebih lanjut isu inkues semula agar tidak mengganggu siasatan dan mendahului Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan Adib meninggal dunia akibat perbuatan jenayah melibatkan lebih seorang individu yang tidak dikenali. 

Koroner Rofiah Mohamad juga merumuskan pihak polis gagal bertindak segera mengawal rusuhan semasa kejadian, dan turut menyumbang kepada kematian Adib.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata tiada keterangan mana-mana saksi yang dapat mengaitkan Muhammad Adib Mohd Kassim dibunuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2020.

Pada 10 Julai lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata polis bercadang untuk menyiasat semula segala aspek melibatkan kes kematian Adib.

Hamid juga mengingatkan, berdasarkan dapatan inkues, tiada keterangan mana-mana saksi yang dapat mengaitkan bahawa Adib dibunuh.

Katanya, tiada saksi yang benar-benar nampak Adib dipukul setelah PDRM merakam keterangan 30 saksi kejadian.

Kenyataan itu menyebabkan keluarga Adib ingin mengambil tindakan sivil untuk menuntut ganti rugi atas kegagalan dan kecuaian pihak polis sehingga menyebabkan kematian anggota bomba itu.

“Agresiflah sikit siasat kes”

Dalam pada itu, badan masyarakat (NGO) berteraskan Islam turut menuntut kerajaan supaya lebih agresif untuk mencari pelaku yang menyebabkan kematian Adib.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam Malaysia (Pembela) Mohd Noor Izzat Johari berkata, kes tersebut seolah-olah tidak lagi mendapat perhatian kerajaan.

“Saya nampak… rakyat juga nampak secara jelas bahawa kerajaan sangat lemah dalam menyelesaikan kes arwah Adib.

“Tiada khabar, tiada berita malah terus membisu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penyokong yang hadir ketika Mahkamah Koroner memutuskan  Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia akibat perbuatan jenayah melibatkan lebih seorang individu yang tidak dikenali, pada 27 September tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2020.

Pembela merupakan antara NGO yang ke depan sejak dua tahun lalu menuntut pembelaan bagi Adib.

“Kita sentiasa ingat dan masih segar dalam ingatan kita berkenaan isu arwah Adib. Kita tuntut kerajaan segera selesaikan masalah ini bukan kerana Adib tetapi kerana melibatkan penjawat awam atau barisan hadapan pertahanan negara,” tegasnya.

Kes Adib turut mendapat perhatian PAS dan Umno, yang ketika itu menjadi pembangkang. Dua parti Melayu itu pernah menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kejadian.

Pemimpin NGO dan parti Melayu juga pada masa itu menuduh peguam negara ketika itu Tommy Thomas campur tangan dalam kes.

Penganalisis politik sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight isu-isu kepentingan Melayu dan Islam, yang dihebohkan semasa PH menjadi kerajaan, sekarang sudah hampir senyap sunyi selepas gabungan itu jatuh.

Mainan politik Umno, PAS

Umno dan PAS dilihat mengambil kesempatan menggunakan kes Adib Muhammad Adib Mohd Kassim dengan memainkan isu agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2020.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azmil Tayeb berkata, sikap Umno dan PAS jelas menunjukkan dua parti itu mengambil kesempatan menggunakan isu agama sebagai kelemahan PH selepas menjadi kerajaan pada Mei 2018.

“Isu ini kini menjadi senyap selepas PAS dan Umno menjadi kerajaan.

“Aspek-aspek agama dan kaum tidak boleh dipisahkan dan sentimen ini masih sangat menebal dalam masyarakat.

“Sekarang sentimen kaum dan agama mereda kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang didominasi parti Melayu dan Islam tapi sentimen ini boleh diapi-apikan pada bila-bila masa mengikut kepentingan politik semasa,” katanya.

Nidhal Mujahid dari Institut Pulau Pinang turut berpendapat, kes pembunuhan arwah Adib digunakan oleh Umno dan PAS sebagai modal politik bagi menakut-nakutkan orang Melayu.

“Kini saya nampak Umno-PAS mulai sedar realiti apabila menjadi kerajaan kena jaga semua sensitiviti masyarakat yang berbilang kaum serta perlunya kes ini perlu dilunaskan dalam bidang perundangan tanpa perlu diapi-apikan dengan kebencian.

“Saya rasa banyak pihak yang tidak mempunyai parti sedar tentang pendirian tidak jelas Umno dan PAS dengan isu arwah Adib ini.

“Apa pun saya harap isu arwah Adib perlu mendapat perhatian sewajarnya tanpa perlu dijadikan sentimen untuk membenci satu sama lain dengan kaum lain,” jelasnya. – 1 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kes dah tak relevan dgn perjuangan pasumno

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Marhaen Marhaen · Ulasan