PDRM cadang tubuh Pasukan Kajian Semula kes Adib


Anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim cedera parah dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2020.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bercadang untuk menubuhkan Pasukan Kajian Semula, bagi menyiasat kesemua aspek kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, pasukan itu akan melakukan siasatan yang tertumpu kepada saksi-saksi.

“Ia termasuklah pandangan seorang pakar patalogi forensik dari Hospital Kuala Lumpur dan seorang lagi pakar forensik yang dilantik oleh keluarga Muhammad Adib, sepanjang inkues berlangsung di Mahkamah Koroner bermula pada 11 Februari hingga 24 Julai tahun lepas, di Shah Alam.

“Pasukan ini sama seperti mana pasukan yang pernah ditubuhkan sebelum ini, yang melibatkan kes kematian seorang model berusia 18 tahun dari Belanda, yang didapati maut akibat terjatuh dari sebuah bangunan, beberapa tahun dahulu,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Hamid berkata PDRM akan mencadangkan penubuhan pasukan itu kepada Kementerian Dalam Negeri, kerana terdapat percanggahan pendapat oleh dua pakar patologi yang menjalankan bedah siasat terhadap mangsa.

Beliau berkata setakat ini, polis telah memanggil semula 31 saksi inkues dan seramai 52 saksi baharu telah dirakam keterangan, susulan keputusan mahkamah koroner pada September tahun lepas yang mendapati Muhammad Adib maut akibat perbuatan jenayah, oleh dua atau lebih orang yang tidak dikenali.

Sehingga kini Abdul Hamid berkata, tiada keterangan mana-mana saksi yang dapat mengaitkan Muhammad Adib dibunuh, berdasarkan dapatan inkues.

Beliau berkata, polis telah memperoleh satu rakaman video, namun kabur dan tidak dapat menjelaskan keadaan insiden terbabit.

Abdul Hamid berkata, polis tidak pernah menutup kes itu sewenang-wenangnya dan sentiasa ingin mencari kebenaran, demi keadilan buat Muhammad Adib, dan beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes itu, tampil membantu siasatan.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 September tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui. – Bernama, 10 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Mustahil tidak ada seorang yang melihat kejadian itu".
    Biarpun demikian, keterangan yang paling kritikal adalah yang di beri oleh pakar patologi Hospital Kuala Lumpur. Keterangan itu bukan merupakan "saya fikir", "saya agak", "saya syaki" dsb. Ia berdasakan pemeriksaan tubuh badan dan kajian X-ray, dsb.
    Keterangan beliau amat jelas bahawa sebelah belakang 7 (tujuh) tulang rusuk telah patah dalam satu garisan lurus dari atas ke bawah dan ini mustahil berlaku kalau di pukul orang.
    Kalau Adib di belasah orang (jenayah), tentu ada tanda-tanda ketara di badan beliau yang dapat dirakam (foto) dan di ubati. Jadi foto dan cara kendalian kecederaan-kecederaan itu tentu direkodkan oleh doktor-doktor dan juga di lihat oleh pakar patologi.
    Maka langkah pertama semakan semula harus menumpu kepada rekod-rekod hospital dan keterangan-keterangan kesemua doktor-doktor yang telah merawat dan menjalankan pemeriksaan forensic patologi.
    Sekiranya keterangan bersumpah di mahkamah oleh pakar patologi itu palsu, maka beliau harus didakwa atas tuduhan "perjury".
    Sekiranya keterangan pakar patologi itu benar, maka tidak perlu buang masa untuk menacri "orang yang memukul arwah" kerana orang itu tidak wujud.
    Kadangkala adalah amat pahit untuk menerima sesuatu hakikat, tetapi sekiranya benar, maka perlu diterima juga. Sekiranya keterangan pakar patologi Hospita Kuala Lumpur yang berdasarkan pemeriksaan saintifik itu benar, maka terima lah hakikat bahawa arwah Adib telah meninggal bukan akibat keganasan mana-mana orang.

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan