Isu Melayu, Islam kendur sejak Pakatan bukan lagi kerajaan, kata penganalisis


Zaim Ibrahim

Isu Melayu dan Islam tidak lagi jadi tumpuan selepas tumbangnya Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2020.

ISU melibatkan Melayu dan agama Islam, yang dibingkaikan sebagai isu perkauman, sudah jarang berbangkit dalam masyarakat sejak Bersatu, PAS, dan Umno jadi sebahagian daripada kerajaan bersama gabungan baharu Perikatan Nasional, kata penganalisis politik.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, pengundi Melayu sekarang beralih kepada isu ekonomi dan pentadbiran kerajaan lebih baik.

Pengundi Melayu sudah tidak lagi menumpukan perhatian kepada isu-isu kaum dan agama, yang hangat ketika Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan, kata mereka.

Antaranya, termasuk kempen menentang usaha Malaysia meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) dan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa, semasa pentadbiran PH.

Pensyarah politik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata, isu kaum dan agama kian kendur setelah mereka yang kerap memainkannya jadi kerajaan dan tahu kekangan untuk melaksanakan dasar.

“Sebagai contoh pemandu mabuk langgar orang, mati. 

“Apabila seorang anggota polis maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk, ia tidak menjadi satu isu perkauman. Ketika PH menjadi kerajaan, ada kes pemandu mabuk langgar orang dan ia menjadi isu perkauman. 

“Sebenarnya (kemalangan maut akibat pemandu mabuk) bukan isu agama atau kaum tetapi kebetulan majoriti yang minum arak memang bukan Islam,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Semasa PH mentadbir Putrajaya, Umno dan PAS bergabung membangkitkan isu Melayu dan Islam untuk mencabar kredibiliti pentadbiran yang menjanjikan reformasi untuk Malaysia.

Dua parti Melayu itu kemudian menjalin kerjasama rasmi atas nama Muafakat Nasional pada September 2019.

Icerd jadi isu utama yang mengheret Pakatan Harapan sehingga mencetuskan protes besar-besaran di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2020.

Selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menarik partinya keluar dari PH pada hujung Februari, tiga parti Melayu itu membentuk gabungan baharu yang mendapat sokongan komponen Barisan Nasional (BN) serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Jelas Mazlan, berdasarkan kajiannya, pengundi Melayu di luar bandar dan golongan menengah rendah ebih terpengaruh dengan kempen isu kaum dan agama semasa pentadbiran PH sebelum ini.

“Bagi kumpulan Melayu di bandar dan golongan muda, mereka lebih tumpu kepada isu semasa misalnya ketelusan kerajaan, tadbir urus yang baik, dan rasuah,” katanya.

Penganalisis politik sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight, PAS sudah tidak lagi agresif membangkitkan isu berkaitan agama Islam setelah jadi kerajaan di Putrajaya bersama Barisan Nasional (BN) dan Bersatu, sejak perubahan politik pada hujung Februari lalu.

Pemimpin PAS bagaimanapun menjelaskan mereka bukannya sudah berubah cuma fokusnya kini lebih pada urusan pentadbiran sebagai kerajaan, ketika Malaysia berdepan kesan penularan Covid-19.

Malaysia sudah lebih 60 tahun Merdeka, tetapi naratif Islam dan Melayu terancam masih digunakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2020.

Sementara itu, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, pensyarah politik di Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata orang Melayu kini lebih menumpukan soal ekonomi. 

“Hak istimewa orang Melayu tidak menjadi soal (utama) sekarang. Yang penting pada orang Melayu masa kini ialah isu ekonomi,” katanya, merujuk kesan yang dihadapi oleh rakyat akibat penularan Covid-19.

“PN perlu cari jalan menstabil dan memakmurkan ekonomi supaya rakyat peroleh manfaat. 

“Isu ekonomi akan jadi penentu dalam pilihan raya umum akan datang,” jelasnya.

Dua pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam satu tulisan minggu lalu berkata dasar kerajaan yang mengutamakan orang Melayu tidak pernah meminggirkan orang bukan Melayu.

Tulisan itu mencetuskan polemik apabila ada pihak mempertikaikan pandangan mereka dan berpendapat diskriminasi dan prejudis antara kaum telah lama “diterima” di Malaysia sejak Merdeka.

Naratif Melayu, Islam terancam hanya retorik

Dalam pada itu, penganalisis politik Nidhal Mujahid dari Penang Institute berkata isu Melayu dan Islam sengaja dibangkitkan oleh Umno dan PAS sebelum ini untuk meraih sokongan dan simpati rakyat.

“Orang Melayu sangat sayangkan Islam dan atas neraca inilah ada isu yang diperbesarkan demi membunuh kepercayaan pengundi Melayu terhadap PH. 

“Atas kesempatan ini, PN menggunakan sentimen keprihatinan rakyat untuk alih isu-isu perkauman yang pernah dibangkitkan Umno-Pas dahulu. 

“Justeru, isu yang menyentuh sentimen Melayu-Islam tidak akan hangat ditularkan seperti zaman PH terdahulu,” katanya.

Isu kematian anggota bomba Muhammad Adib ketika menjalankan tugas menjadi isu perkauman yang mengancam Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2020.

Beliau memberikan satu contoh lain iaitu kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim semasa rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya, Selangor pada hujung 2018.

Bagaimanapun Nidhal menambah, walaupun tidak begitu lagi dibangkitkan oleh Umno dan PAS, isu-isu kaum dan agama terus dimainkan di media sosial oleh beberapa badan bukan kerajaan yang bergerak atas nama Melayu dan Islam.

Sementara itu, pensyarah di Universiti Malaya (UM), Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, isu kaum dan agama akan terus berbangkit dalam kalangan pengundi yang konservatif.

“Bagi golongan anak muda mereka tahu yang mana realiti dan retorik politik.

“Namun bagi pengundi konservatif, yang kurang literasi politik, mereka percaya akan retorik politik semasa, sedangkan Perlembagaan Negara sudah menjamin hak keistimewaan Melayu,” jelasnya. – 19 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen